JOHOR BAHRU, 8 Januari: Menteri Pengajian Tinggi Dato’ Seri Mohamed Khaled Nordin membuat kejutan apabila mengumumkan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) diberi status universiti berautonomi penuh.
Pengumuman itu dibuat semasa beliau menyampaikan ucapan di majlis penyampaian sijil Biasiswa Endowmen dan surat tawaran mengikuti Five Excellent Tracks Programme (5ETP) di Dewan Senat hari ini.
“Saya ingin umumkan di sini bahawa UTM adalah antara beberapa universiti yang telah berjaya mendapat status berautonomi penuh dan nama universiti lain akan diumumkan semasa amanat tahun baru nanti,” katanya.
Dato’ Sri Mohamed Khaled berkata, status berkenaan berkuatkuasa tahun ini memberi kuasa kepada universiti antaranya dari segi urus tadbir, kewangan dan pengambilan pelajar.“Autonomi berkaitan dengan kecemerlangan dan tidak ada alasan lagi bagi universiti yang mendapat status berkenaan untuk mencapai kecemerlangan,” katanya.
Sumber: NewsHub UTM
-Dato' Seri Mohamed Khaled menjelaskan lebih lanjut mengenai universiti berautonomi penuh di sidang media._____________________________________________________
PMIUTM mengucapkan tahniah kepada semua warga UTM atas pengisytiharan Universiti berautonomi penuh oleh Menteri Pengajian Tinggi Dato’ Seri Mohamed Khaled Nordin hari ini. Diharapkan dengan pengisytiharan ini, kebebasan akademik, budaya ilmu dan kualiti mahasiswa dapat ditingkatkan selari dengan taraf yang diberikan.
Ini menandakan, Mahasiswa UTM mampu memberi sumbangan yang besar kepada kegiatan utama (core business) iaitu akademik. Seharusnya kita menggunakan dengan sebaiknya peluang yang diberikan ini agar kecemerlangan yang sebenar terus direalisasikan.
Maka PMIUTM percaya IPTA yang lain turut tidak ketinggalan untuk mencapai kejayaan sebegini sekiranya setiap daripada mahasiswa mampu melakukan perkara yang sama. Bersama-sama memacu kecermelangan IPT Negara.
'Bersama Membangun Ummah'
Persatuan Mahasiswa Islam,
Universiti Teknologi Malasysia
Januari 2011