Mewakili seluruh mahasiswi PMIUTM Johor Bahru dan juga individu muslim yang menyedari hal ini, saya membantah sekerasnya berkenaan isu yang dilontarkan oleh Persekutuan Badminton Sedunia (BWF) yang mana telah mengeluarkan arahan peraturan mewajbkan pemain badminton wanita memakai skirt yang kononnya bertujuan memastikan aksi pemain khususnya wanita lebih menonjol dan untuk menarik lebih ramai penonton dan penaja. Berikutan artikel yang dikeluarkan dalam Malaysiakini (http://www.malaysiakini.com/news/163329) “BWF berkata peraturan baru itu bertujuan "untuk memastikan aksi lebih menarik" untuk menarik kehadiran lebih ramai penonton”.Hal demikian jelas menyimpang jauh dari ajaran Islam dan pada masa yang sama wanita yang sepatutnya dipelihara kini terang benderang dieksplotasikan untuk bahan tontonan orang ramai. Tindakan ini seolah-olah meletakkan wanita pada tahap maruah 'kosong' atau tiada nilai yang sepatutnya dijaga. Seharusnya, umat manusia harus sedar, wanita umpama tiang negara dan jika wanita diperagakan dengan sebegitu negatif, negara juga dilihat mengarah kepada kemunduran dan kehancuran.
Tambahan lagi jika dilihat, dalam dunia teknologi kini, di kaca-kaca televisyen dalam laman-laman iklan tidak kira dalam internet atau majalah-majalah kelihatan wanita dijadikan sebagai alat untuk meperagakan dan melariskan produk-produk, tidak dinafikan wanita sebagai perhiasan dunia, tetapi bukan diperhias dengan benda-benda yang menjatuhkan maruah tetapi sebaiknya wanita dijadikan perhiasan sebagai wanita soleha atau isteri solehah yang diangkat martabatnya.
Selain itu, kenyataan “BWF peraturan baru itu adalah salah satu cara bagi menarik lebih ramai minat penonton dan penaja, sebagaimana evolusi fesyen dalam tenis yang menjadikan sukan itu lebih menarik”. Seharusnya pihak Ordinadator berfikir secara waras, bagi meningkatkan produktiviti bukannya melalui pengubahsuaian pemakaian khusus bagi wanita. Saya berpandangan ini lebih menunjukkan pihak persekutuan bandminton sedunia tidak berfikiran waras dan rasional.
Saya sekali lagi mewakili wanita khususnya mahasiswi mendesak agar Kementerian Belia dan Sukan membantah sekeras-kerasnya isu ini di peringkat nasional mahupun antara bangsa. Sepengetahuan saya sebagai rakyat Malaysia, bahawa salah satu etika yang ditekankan adalah budaya pemakaian yang sopan. Saya takut sekiranya tiada bantahan dan pantauan daripada pihak berkuasa, pengaruh peraturan tersebut akan menular dan dikuatkuasakan di Malaysia.
Tidak lupa juga, saya mewakili mahasiswi PMIUTM Skudai menyeru kepada seluruh warga universiti dan masyarakat bangkit bagi mendesak pihak-pihak berwajib untuk memastikan peraturan baru yang dikeluarkan oleh Persatuan Badminton Sedunia dapat di mansuhkan demi menjaga hak wanita dan kecemerlangan tamadun ummah.
Norsutriana Hj Babu
Naib Presiden II
Persatuan Mahasiswa Islam UTM
Persatuan Mahasiswa Islam UTM
merangkap Pengerusi Jabatan Hal Ehwal Wanita Islam PMIUTM
