Selaras dengan apa yang telah digagaskan oleh Yang Berbahagia Naib Canselor, budaya ilmu menjadi pokok persoalan utama yang cuba diterapkan kepada seluruh warga UTM, daripada peringkat pentadbiran sendiri sehingga ke peringkat akar umbi, yakni mahasiswa-mahasiswi UTM. Namun, yang menjadi persoalan, sejauh manakah setiap warga universiti dari pelbagai peringkat ini tahu dan mengerti akan budaya ilmu yang hendak direalisasikan ini? Dan sejauh mana pula mereka sedar akan kepentingan penghayatan budaya ilmu?Menurut Prof. Wan Mohd. Nor Wan Daud melalui karyanya “Penjelasan Budaya Ilmu”, budaya ilmu bermaksud kewujudan suatu keadaan di mana setiap lapisan masyarakat melibatkan diri, sama ada secara langsung mahupun tidak langsung dalam kegiatan yang merujuk kepada kewujudan suatu keadaan yang segala tindakan manusia baik di tahap individu mahupun masyarakat diputuskan dan dilaksanakan berdasarkan ilmu pengetahuan melalui kajian ataupun syura.
Tidak dinafikan bahawa ilmu merupakan alat yang paling berkesan untuk membentuk sesebuah masyarakat. Tidak ada masyarakat yang berjaya dan maju tanpa adanya ilmu pengetahuan. Islam telah meletakkan ilmu pengetahuan sebagai asas pembangunan dan menitikberatkan penganutnya sentiasa mengkaji, meneliti, menyelidik, meneroka segala ilmu dan maklumat demi manfaat kehidupan. Kecemerlangan ummah serta pembinaan tamadun sesuatu bangsa adalah bergantung kepada sejauh mana penguasaan ilmu pengetahuan yang dicapai oleh bangsa itu. Bahkan Allah S.W.T menyatakan dalam firman-Nya yang bermaksud:
“Allah meninggikan darjat orang-orang yang beriman di antara kamu, dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan agama (dari kalangan kamu) beberapa darjat. Dan Allah Maha mengetahui apa yang kamu kerjakan.”
(Surah Al-Mujadalah : 11)
Dalam konteks kita di UTM pada hari ini, banyak pembaharuan yang telah dilakukan dari segi pelaksanaan program-program di peringkat universiti yang lebih menjurus ke arah pembudayaan ilmu. Ini sesuatu yang baik dan wajar disambut baik oleh setiap warga UTM. Namun demikian, apa yang dapat dilihat, banyak program-program sebegini kurang mendapat perhatian khususnya daripada mahasiswa/i. Perkara yang sama mungkin turut berlaku dikalangan staf, tidak kiralah pegawai-pegawai pentadbiran mahupun pensyarah sendiri. Sebagai contoh, jika diperhatikan, “UTM Reading Stations” pada awalnya dilihat sebagai satu cara mempraktikkan budaya membaca tidak kira di mana-mana dengan penyediaan rak-rak berisi buku di beberapa tempat yang dijadikan sebagai reading stations, tetapi apa yang berlaku kini adalah sebaliknya. Fungsi reading stations ini tidak dapat dimanfaatkan sebaiknya.Begitu juga halnya dengan “Saturday Night Events” yang dijdikan acara mingguan yang mengkhususkan kepada persembahan-persembahan puisi, teater, drama/sketsa yang berbentuk kemanusiaan. Program ini yang sepatutnya boleh menarik minat mahasiswa/i kerana adanya unsur hiburan dilihat masih belum dapat juga memberi impak yang berkesan kepada mahasiswa/i.
Kadang-kala, penyampaian dan hebahan maklumat juga menjadi isu. Apa yang dapat dilihat, banyak program-program keilmuan kurang mendapat publisiti meluas menyebabkan tidak ramai yang mengetahui akan keberlangsungan sesuatu program. Hanya setelah selesai program tersebut, barulah disedari akan kewujudannya. Dalam hal ini, adakah kesalahan perlu diletakkan kepada pihak penganjur yang gagal menyediakan publisiti berkesan? Atau mahasiswa/i yang perlu dipersalahkan lantaran tidak cakna dengan hal-hal yang berlaku di sekeliling? Ini baru sedikit.
Hari ini, kita melihat budaya ilmu seolah-olah semakin dihimpit oleh apa yang diistilahkan oleh Ronaid Dore sebagai ‘diploma disease’ iaitu pengejaran yang tergesa-gesa untuk mendapatkan sijil bukan kerana nilai dalaman kependidikan, tetapi kerana nilai ekonomi dan martabat sosial yang mungkin diperolehi daripadanya. Ilmu kini diperalatkan oleh segelintir individu untuk mencapai hajat manakala pendidikan pula telah dijadikan komoditi untuk mengaut keuntungan. Ia seolah-olah suatu industri yang bermatlamat menjana ekonomi semata-mata.
Justeru, sebagai mahasiswa yang prihatin dan sedar akan tanggungjawabnya, kita bukanlah semata-mata menyokong sesuatu gagasan dan dalam masa yang sama mencari kelemahan, tetapi apa yang penting adalah pandangan dan cadangan solusi yang lebih efektif. Di peringkat PMIUTM sendiri, sebagai contoh telah memulakan langkah dengan merencana satu lagi program ilmiah melalui pendekatan maya. Apa yang dimaksudkan ialah penubuhan blog khas yang memaparkan perbincangan-perbincangan ilmiah dikalangan mahasiswa, disamping ulasan buku daripada perspektif mahasiswa sendiri. Ini menunjukkan bahawa PMIUTM ingin bergerak selari dengan apa yang digagaskan oleh NC.
Dari aspek pelaksanaan program, HEP antara yang berperanan penting dalam memastikan setiap program yang dilaksanakan sejajar dengan konteks budaya ilmu. Galakan perlu diberi kepada program-program sebegini agar budaya ilmu terus bercambah di bumi UTM, dan bukan disekat. Tambahan pula, kita sedang menuju ke peringkat global dan di bawah “Global Outreach Programme”, banyak kelebihan yang boleh dimanfaatkan. Bukan setakat memberi peluang kepada mahasiswa/i merasai pengalaman di kampus luar negara, tetapi juga pendedahan dan membina hubungan yang lebih bersifat global.
Begitu juga halnya di peringkat kolej. Adalah lebih mustahak penganjuran aktiviti-aktiviti bersifat keilmuan dan yang seumpamanya diutamakan berbanding aktiviti lain yang tidak membina minda mahasiswa. Dan di peringkat mahasiswa sendiri, yakni difokuskan kepada penggerak persatuan-persatuan pelajar, perlulah bijak mencipta dan merebut peluang yang ada. Penggerak-penggerak persatuan antara orang-orang yang perlu memikirkan halatuju, strategi dan apa yang ingin dicapai dalam usaha membawa agenda pembudayaan ilmu agar meresap ke setiap akar umbi.
Tidak dinafikan, mahasiswa/i universiti mempunyai masa yang terhad dengan jadual pengajian yang padat. Maka, kebanyakan masa banyak dihabiskan di bilik-bilik kuliah, bersama-sama pensyarah. Di sinilah peranan pensyarah dalam memupuk mahasiswa/i ke arah menyedari hakikat pembudayaan ilmu serta mengimplementasikannya dalam kehidupan. Banyak cara yang boleh dilakukan. Pensyarah bukan sahaja setakat mencurah ilmu kepada para mahasiswa/i mengikut silibus pengajian, tetapi juga membimbing ke arah penghayatan dan pengaplikasian ilmu. Dalam masa yang sama, perlu diingatkan bahawa matlamat menuntut ilmu bukanlah semata-mata mendapat keputusan cemerlang dalam peperiksaan dan meraih segulung ijazah.
Dalam memahami hakikat budaya ilmu, janganlah menyempitkan fikiran dengan menjurus kepada budaya membaca buku semata-mata. Banyak lagi perkara bersifat ilmiah yang diklasifikasikan di bawah budaya ilmu. Dan pendekatan-pendekatannya juga bukan hanya bersifat realiti, tetapi turut mengaplikasi teknologi maya yang semakin berkembang dari semasa ke semasa. ‘Mind setting’ bahawa ilmu hanya di bilik-bilik kuliah perlu diubah, kerana dalam konteks menuntut ilmu, kita perlu lebih ke hadapan, mencari segala ruang dan peluang yang ada. Perlu diingat bahawa, ilmu adalah sebagai wasilah untuk mendapat keredhaan Ilahi. Dan ilmu itu adalah cahaya, ia tidak dapat menyusup masuk ke lubuk hati yang dipenuhi karat-karat dosa. Justeru itu, ikhlaskan niat dalam menuntut ilmu dan amalkan ilmu yang dipelajari untuk ke arah kebaikan. Sahutlah seruan budaya ilmu dan sama-samalah menjayakan gagasan murni ini untuk manfaat bersama.


Oleh : Azim Jamil
Dengan nama Allah yang maha pengasih, maha penyayang
Pengenalan
Kupasan buku pada kali ini ingin penulis berkongsi tentang sebuah buku tulisan Syed Hussein Alatas yang bertajuk Intelektual Masyarakat Membangun. Buku ini secara dasarnya membincangkan tentang keintelektuan sesebuah masyarakat secara tersusun dan terfokus. Pembaca akan dibawa untuk mengenali ciri-ciri masyarakat membangun dari konteks kaca mata Syed Hussein Alatas berdasarkan kajian-kajian yang dilaksanakan dalam menyokong contoh dan pandangan beliau. Buku ini amat menarik untuk dibaca kerana ulasan yang diberikan cukup mengugah otak untuk berfikir dan menyentak urat saraf anda untuk sedar akan kepentingan Intelektual dalam sesebuah masyarakat membangun.

Kaum Intelektual
Memetik kata-kata Syed Hussin Al-Attas : “Salah satu masalah utama yang berlaku dalam masyarakat berkembang adalah KEMALASAN INTELEKTUAL”
Salah satu krisis yang paling kerap diperkatakan dewasa ini adalah adalah kegagalan universiti memainkan peranan untuk memperkembangkan pemikiran intelektual dikalangan mahasiswa. Salah satu punca yang menyebabkan perkara ini berlaku adalah proses pemetaan atau compartmentalisation yang keterlaluan terhadap konsep dan fungsi ilmu pengetahuan bagi memenuhi tujuan gunaan, yakni profesion pekerjaan yang bermatlamatkan pulangan ekonomi sehingga menghakis nilai sebenar ilmu.
Dalam hendak membicarakan persoalan-persoalan diatas, mari kita merenung sejenak definisi yang diberikan oleh syed Hussin Al-Attas berkenaan intelektual.
“Intelektual adalah orang yang mengabdikan diri untuk memikirkan idea dan masalah bukan kebendaan dengan menggunakan kemampuan akliah.”
Merujuk kepada definisi di atas, kita dapat melihat bahawa memiliki kelayakan akademik dan mempunyai gelaran sebagai contoh gelaran sebagai seorang professor masih belum layak untuk menggelarkan seseorang itu sebagai seorang Intelektual. Syed Hussin Al-Attas telah mengambil satu model tokoh iaitu Herbert Spencer. Walaupun beliau tidak mempunyai kelayakan akademik tetapi diiktiraf sebagai salah seorang intelektual pada zamannya.
Di samping itu juga, Syed Hussin Al-Attas tidak terlepas pandang untuk mengkritik sikap kebodohan berpanjangan yang telah melanda masyarakat hari ini :
“Jika ada bahaya kerana seorang menyimpang dari ajaran yang benar, maka bahaya itu pertama-tama terletak pada kejahilan. Tentu sahaja pertumbuhan pengetahuan rasional tidak menyelamatkannya, tetapi ia melindungi pengetahuan palsu…..Fikiran yang jahil sekalipun disertai dengan keyakinan hati nurani yang paling tulus, akan melahirkan iri hati yang tidak rasional yang merupakan sumber penyimpangan fikiran dan keyakinan”
Banyak lagi persoalan-persoalan ilmiah yang telah dikupas dengan baik oleh Syed Hussin berkenaan masyarakat hari ini yang jelas masih kabur tentang makna sebenar Intelektual dan menggunakan istilah-istilah sindiran bagi mereka yang telah menyelewengkan ilmu dari makna yang sebenar. Antaranya adalah gejala bebalisme, orang pandir yang wujud dalam pelbagai peringkat hari ini, fungsi pendidikan yang dilihat gagal, kemalasan orang kaya, gejala ketenanganisme dan sebagainya. Saya cuba mengupas salah satu subtopik yang dibincangkan dalam buku ini iaitu Gejala Bebalisme.
Bebalisme
Secara umumnya, bebalisme berpunca dari kata dasar ‘bebal’ yang menbawa maksud tumpul otak atau bodoh. Oleh yang demikian, maksud bebalisme itu sendiri akan memberikan kepada kita maksud yang cukup kasar. Tetapi, istilah bebalisme ini diulas oleh Syed Hussein Alatas dari sudut ilmiah dan beliau menolak pandangan bahawa pengunaan istilah bebalisme ini digunakan untuk merendahkan martabat seseorang.
Gejala bebalisme diibaratkan sebagai parasit dalam pemikiran masyarakat. Gejala ini menunjukkan pelbagai kepincangan masyarakat terutamanya dari segi keinginan dan kemampuan menuntut ilmu. Antara sikap yang ditunujkkan dalam gejala bebalisme ini adalah kelesuan berfikir, sikap acuh tak acuh, tidak berminat terhadap budaya ilmiah dan tidak mempunyai daya cipta yang baik. Paling ketara bagi mereka yang terperangkap dengan gejal ini ialah tidak menghormati ilmu pengetahuan dan pandangan ilmiah, tidak mempunyai kecintaan terhadap hujah yang tertib serta tidak menaruh penghargaan terhadap budaya ilmiah itu sendiri.
Kesan paling ketara daripada gejala ini adalah kemalasan intelek. Ini dicirikan dengan ketiadaan semangat intelektual iaitu semangat mengkaji serta berfikir dan hilangnya rasa hormat terhadap pengetahuan dan amalan ilmiah. Oleh itu, gejala ini menyebabkan masyarakat membangun tidak lagi berminat mendapatkan ilmu pengetahuan berguna. Jika adapun usaha mencari ilmu, ini dilakukan bukan kerana niat ingin membantu masyarakat, tetapi disebabkan oleh pangkat, nama dan sebagainya.
“Menjadi salah satu ciri bebalisme untuk mengharapkan orang lain percaya pada apa yang dikemukakannya tanpa memberi alasan atau penjelasan apabila pokok permasalahan tersebut diluar dari pokok permasalahan biasa. Bebalisme juga tidak mempunyai kecintaan kepada hujah yang tertib dan rasional apabila membahaskan suatu pokok permasalahan atau isu."
Paling menyedihkan apabila Syed Hussien Alatas menegaskan bahawa gejala itu ditampilkan dan disambung daripada satu generasi ke generasi lain. Maka, nyatalah gejala itu sukar dihapuskan dan menimbulkan persoalan mengenai kemampuan serta cara terbaik untuk keluar daripada gejala yang membelenggu masyarakat ini.
Penutup
Jika dilihat dari kupasan buku ini, saya sangat teruja kerana ia telah menampilkan kepada kita kajian-kajian ilmiah yang boleh dijadikan bahan ke arah membina peradaban Malaysia yang lebih cemerlang.
Buku ini juga wajar direnungi oleh semua mahasiswa, Ketahuilah bahawa jika anda berjiwa besar, Universiti tidak akan melahirkan anda sebagai seorang intelektual. Tetapi andalah yang harus membangunkan diri anda untuk mengecapi gelaran birokrat dan teknokrat. Dan anda jugalah yang harus ‘mendewasakan’ pemikiran anda, pengetahuan dan kepakaran anda untuk tampil dan muncul sebagai intelektual bangsa, masyarakat dan Negara.
Perbincangan diatas merupakan sebahagian yang dapat penulis kongsikan kepada pembaca terhadap hasil tulisan Syed Hussein Alatas ini. Banyak lagi aspek-aspek yang perlu diperhalusi untuk mewujudkan masyarakat yang berintelektual. Apa yang diulas merupakan perkara asas dalam perbincangan ini agar pembaca didedahkan secara ringkas terhadap perbincangan-perbincangan umum yang menyokong kepada perbincangan khusus terhadap tulisan Syed Hussein Alatas ini.
Penulis juga menyeru pembaca sekalian untuk mendapatkan buku ini di pasaran. Buku ini merupakan edisi kedua yang menampilkan kata-kata penghantar daripada Syed Farid Alatas. Edisi pertama buku ini diterbitkan oleh Syed Hussein Alatas pada tahun 1977.
Selain itu penulis juga ingin mengajak pembaca untuk menjadikan budaya membaca itu sebgai hobi dan kerjaya semasa diperingkat mahasiswa ini. Pembacaan bahan ilmiah yang bersifat ‘berat’ dari segi isi kandungannya akan membuatkan mahasiswa lebih banyak berfikir disamping dapat menajamkan pemikiran berdasarkan input-input yang banyak dan dinamik.
“Membijakkan Bangsa dengan membaca”
*Pengulas buku Intelektual Masyarakat Membangun merupakan pengerusi Lujnah Penerangan dan Multimedia PMIUTM sesi 2009/2010
Sumber - http://usrahpmiutm.blogspot.com
Tema: Fiqh Pemacu Tamadun Sains dan Teknologi
Dirasmikan oleh:
Y. Berhormat Senator Mejar Jeneral (B) Dato’ Jamil Khir b. Baharom
Bahagian Hal Ehwal Islam
Menteri di Jabatan Perdana Menteri
Anjuran:
Pusat Penyelidikan Fiqh Sains dan Teknologi (CFiRST),UTM dengan kerjasama Jabatan Mufti Johor
Simposium kali pertama peringkat kebangsaan ini dianjurkan oleh Pusat Penyelidikan Fiqh Sains dan Teknologi (CFiRST), UTM. Simposium dua hari ini merupakan inisiatif bagi menyediakan satu platform untuk para cendekiawan Islam membincangkan isu-isu Fiqh Sains dan Teknologi.
Simposium ini dijangka akan membuka peluang kerjasama saintifik antara agensi dan individu di peringkat kebangsaan untuk berkongsi penemuan berkenaan aktiviti-aktiviti dalam bidang Fiqh Sains dan Teknologi.
Objektif simposium ini adalah untuk:
1. Mewujudkan hubungan kerjasama serta rangkaian penyelidikan di kalangan pakar, ilmuan, penyelidik, profesional, golongan korporat dan aktivis Fiqh Sains dan Teknologi berhubung isu – isu semasa.
2. Menyebarkan maklumat berguna dalam aktiviti-aktiviti sains dan teknologi berlandaskan prinsip-prinsip fiqh.
3. Menjadi wadah bagi para pakar membincangkan kaedah dan hala tuju penyelidikan berkaitan isu-isu saintifik Fiqh Sains dan Teknologi.
4. Menggalakkan penyelidikan dalam Fiqh Sains dan Teknologi untuk diketengahkan dalam masyarakat.
5. Mengenalpasti skop dan tren penyelidikan yang relevan bagi penyelidik untuk diketengahkan kepada masyarakat dan golongan profesional.
Peserta
– peserta simposium ini dijangkakan terdiri daripada ahli-ahli akademik daripada IPTA/S di Malaysia, pegawai
– pegawai di Jabatan Mufti, Majlis
– Majlis Agama Negeri, syarikat swasta dan kumpulan profesional yang terlibat dalam bidang pengurusan sains dan teknologi. Simposium ini mensasarkan peserta seramai 300 orang.
TARIKH
10 - 11 Disember 2009
TEMPAT
HOTEL GRAND PARAGON, Jalan Harimau, Taman Century, Johor Bahru
TAJUK PEMBENTANGAN
- Peranan penyelidikan dalam penyelesaian masalah Fiqh Sains dan Teknologi
- Isu-isu semasa dalam Fiqh Sains dan Teknologi (Halal sains)
- Peranan CFiRST dalam menangani isu-isu Fiqh Sains dan Teknologi
- Cabaran mengeluarkan fatwa dalam era sains dan teknologi
- Fiqh Malaysia: isu sains dan teknologi
- Cabaran dalam kajian sains berteraskan fiqh
- Ekonomi halal dalam pasaran global
- Kaedah dan perlaksanaan hub halal di Malaysia
PEMBENTANG-PEMBENTANG UTAMA
| | Profesor Dato' Paduka Dr. Mahmood Zuhdi Haji Ab. Majid PROFESSOR DI JABATAN FIQH & USUL, UIAM
Mempunyai kepakaran dalam bidang Syariah. Kini menjawat jawatan Timbalan Dekan ISTAC, UIAM. Merupakan mantan Pengarah Akademik Pengajian Islam, Universiti Malaya, ahli panel Syariah Public Bank dan Timbalan Pengerusi Lembaga Pendidikan Islam (LEPAI) di bawah Majlis Raja-Raja. |
| | Dato' Haji Wan Mohamad Bin Dato' Sheikh Abdul Aziz KETUA PENGARAH JAKIM Mula bertugas di Bahagian Hal Ehwal Islam, Jabatan Perdana Menteri sejak tahun 1982. Beliau juga merupakan bekas Ketua Bahagian Pentadbiran Undang-Undang Syariah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI). Pernah mengetuai Bahagian Penyelidikan, JAKIM dan Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) JAKIM pada 2004. Kini Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia. |
| | Datuk Nik Mustapha bin Nik Hassan KETUA PENGARAH IKIM
|
| | Prof. Dato’ Ir. Dr. Zaini Ujang NAIB CANSELOR UTM
Prof. Dato’ Ir. Dr. Zaini Ujang adalah Naib Canselor Universiti Teknologi Malaysia (UTM). Merupakan tokoh dalam bidang Kejuruteraan Air Pengurusan Bersepadu Ekosistem, Industri Ekologi dan Alam Sekitar di Malaysia. Kepakaran utama dalam bidang rawatan air dan air sisa menggunakan kaedah inovatif seperti Teknologi Membran dan Cleaner Production. Penerima termuda Anugerah Merdeka 2009 dalam kategori Pencapaian Ulung Akademik. Turut menyandang jawatan Felo Akademik Sains Malaysia, Penasihat Kanan Prince Khalid Ibn Sultan, Chair of Water Research, King Saud University, Arab Saudi, Pengerusi Kualiti Alam Sekitar Malaysia, Ahli Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara Malaysia (SPAN) dan Timbalan Presiden Persatuan Air Malaysia (2007-2011). Merupakan mantan Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan & Inovasi) dan Dekan Fakulti Kejuruteraan Kimia dan Kejuruteraan Sumber Asli, UTM, Naib Presiden Persatuan Air Antarabangsa dan Pengerusi Kumpulan Pakar Negara Membangun bagi Teknologi dan Pengurusan Air. |
| | Prof. Dato’ Dr Mohd Yusof Haji Othman PENGARAH INSTITUT ISLAM HADHARI, UKM
Prof. Dato’ Dr. Mohd Yusof Haji Othman pakar dalam bidang Fizik dan Falsafah Sains di Universiti Kebangsaan Malaysia. Pernah menyandang jawatan Pengarah Pusat Pengurusan Penyelidikan dan Inovasi UKM sehingga 2007. Menerima Anugerah Saintis Cemerlang 2004 dan 2005 dari Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia. Di anugerahkan WREN PIONEER oleh World Renewable Energy Council / Network (2004), Anugerah Penghargaan Maal Hijrah Peringkat Kebangsaan 1427H (2007), Anugerah Tokoh Maal Hijrah 1428H Peringkat Negeri Pulau Pinang (2008). Kini merupakan Pengarah Institut Islam Hadhari, UKM. |
| | Hj. Abdullah Fahim A. RahmanHALAL CONSULTANT
Tuan Hj. Abdullah Fahim mantan Pengarah Penyelidikan di Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) (1993-1998) di Jabatan Perdana Menteri. Banyak terlibat dalam penyediaan kertas kerja kepada Majlis Fatwa Kebangsaan dalam isu-isu berkaitan halal. Ketika beliau memegang jawatan Pengarah Penyelidikan, persijilan dan logo halal diperkenalkan oleh JAKIM iaitu pada tahun 1994. Menubuhkan syarikat sendiri yang menjalankan perundingan dalam pengiktirafan halal di peringkat nasional dan antarabangsa. Kini merupakan Setiausaha Kehormat World Halal Food Council sejak tahun 2002. Berpengalaman luas dalam pengauditan halal dan persijilan khususnya rumah penyembelihan, makanan, kosmetik dan makanan tambahan. Menyertai IFANCA atau dikenali South East Asia Representative dan telah menubuhkan Associated World Halal Organization (AWHO). |
| | Dato’ Hj. M. Tahrir bin Kiyai Dato’ Hj. Samsudin MUFTI NEGERI JOHOR
Dato’ Hj. M. Tahrir bin Kiyai Dato’ Hj. Samsudin, SPMJ., PIS. merupakan Mufti Negeri Johor di Jabatan Mufti Johor. Mempunyai kepakaran dalam bidang Syariah. Merupakan mantan Ketua Penolong Pengarah Pendidikan Jabatan Agama Johor (1992-2004), Timbalan Mufti Negeri Johor (1998-2008) dan Pengarah MARSAH (2003-2008). |
YURAN PENYERTAAN*
Professional | RM400 seorang |
| RM350 seorang (berkumpulan 5 orang atau lebih) | |
| Pelajar IPT | RM100 seorang (terhad 50 orang) |
KAEDAH BAYARAN
Bayaran hendaklah melalui cek berpalang / bank deraf atau kiriman wang elektronik atas nama:
BENDAHARI UTM
No. Akaun: 0118-0000001-05-1
Nama Bank: CIMB Bank Berhad
Cawangan: UTM Skudai, Johor
PERTANYAAN DAN MAKLUMAT LANJUT, SILA HUBUNGI:
Pn. Sapiah Sulaiman (019-7540079)
Cik Fadzlin Md. Sairan (019-7357878)
Sekretariat FST’09 di alamat: K-Economy Research Alliance, Aras 3, Blok F54, Pusat Pengurusan Penyelidikan, Universiti Teknologi Malaysia, 81310 Skudai, Johor
Tel./Faks : 07-5537829 Emel: sapiah@utm.my This e-mail address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it / fadzlin@utm.myThis e-mail address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it
Muat turun : Brosur FST'09
Majlis penyampaian sumbangan Tabung Bencana Alam Padang telah disempurnakan oleh Presiden Persatuan Mahasiswa Islam UTM, Saudara Mohd. Khairul bin Abdullah Halim. Menurut beliau, Tabung Bencana Alam Padang mula dilancarkan pada 16 Oktober 2009 iaitu semasa berlangsungnya Mesyuarat Agung Tahunan PMIUTM ke-7 bertempat di Dewan Senat UTM Skudai.
Turut sama hadir, Pengarah Tabung Bencana Alam Padang, Saudara Zulhilmey Bin Makmud. Beliau berkata, tabung tersebut dilancarkan bagi membantu meringankan penderitaan mangsa-mangsa yang terbabit dalam bencana alam di Padang. Kutipan tersebut adalah sumbangan daripada pelbagai pihak terdiri daripada kalangan mahasiswa-mahasiswi Universiti Teknologi Malaysia.
Sumbangan tersebut diserahkan kepada wakil Persatuan Pelajar Indonesia UTM, Encik Aulia. Menurut beliau, sumbangan tersebut akan disalurkan terus kepada mangsa-mangsa bencana alam di Padang, Indonesia.
Oleh : Mohd Khairul Bin Abdullah Halim*Bajet tahun 2010 yang bertemakan “1Malaysia, Kemakmuran Bersama” telah dibentangkan oleh Y.A.B Perdana Menteri telah dibentangkan baru-baru ini. Semasa pembentangan tersebut, beliau telah menyatakan bahawa bajet pada kali ini memberi fokus kepada mendahulukan kesejahteraan rakyat dan mengutamakan pencapaian matlamat Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) supaya ianya selaras dengan kewujudan gagasan 1 Malaysia.
Secara dasarnya, bajet tersebut dilihat memberi penekanan kepada aspek kebajikan seluruh masyarakat Malaysia. Golongan pelajar atau mahasiswa menjadi salah satu aspek yang mendapat perhatian dalam bajet kali ini terutama yang berasal dari keluarga bertaraf rendah dan pelajar-pelajar cemerlang.
Antaranya, Peruntukan tambahan RM20 juta untuk memberi pengiktirafan Sekolah Berprestasi Tinggi (SBT) dengan sasaran 20 buah sekolah pada 2010, Menganugerahkan Biasiswa Nasional kepada 30 pelajar terbaik di kalangan yang terbaik berasaskan kepada merit sepenuhnya dan Penyandang Biasiswa Nasional ini akan melanjutkan pelajaran ke universiti tersohor di dunia, Menukar pinjaman PTPTN kepada biasiswa bagi pelajar yang berjaya menamatkan pengajian ijazah sarjana muda kelas pertama atau setaraf dengannya bermula tahun 2010, Diskaun tambang 50 peratus bagi perkhidmatan kereta api KTMB jarak jauh kepada pelajar berumur 13 tahun sehingga mereka masih bertaraf pelajar bermula 1 Januari 2010, Pakej "netbook" termasuk perkhidmatan jalur lebar percuma kepada 100,000 pelajar universiti tempatan dengan bayaran RM50 sebulan untuk tempoh dua tahun bermula 1 Januari 2010 dan Peruntukan RM100 juta bagi pelaksanaan Program PERMATA yang memberi penekanan terhadap kaedah pengasuhan dan pendidikan awal kanak-kanak secara bersepadu dan terancang. Golongan pelajar yang dihantar ke universiti terunggul di dunia dilihat merupakan aset yang diperlukan negara. Peluang menimba ilmu pengetahuan serta kemahiran yang diperoleh, sangat berguna untuk diaplikasikan bagi tujuan pembangunan dan permodenan negara bagi jangka masa panjang.
Namun, bajet yang dibentangkan ini dilihat masih tidak mampu untuk mengatasi masalah pengangguran graduan Malaysia yang semakin meruncing. Tiada perancangan khusus yang disusun dalam bajet 2010 bagi mengatasi masalah ini.
Mengikut maklumat dan data dari Jabatan Statistik Negara didapati jumlah siswazah yang menganggur di Malaysia sehingga tahun 2008 adalah sekitar 80,000 orang yang mana mewakili 13 peratus daripada keseluruhan rakyat Malaysia yang menganggur. Jumlah ini mengalami peningkatan berbanding pada tahun 2006 sehingga 2007, dimana jumlah siswazah menganggur adalah sekitar 60,000 orang.
Seharusnya, isu graduan menganggur ini dititikberatkan dan menjadi salah satu daripada cabangan NKRA yang diperkenalkan oleh YAB Perdana Menteri agar matlamat Penunjuk Prestasi Utama (KPI) dapat dicapai dengan lebih berkesan. Strategi khusus patut dibentuk untuk menjamin kualiti graduan adalah relevan dengan kehendak semasa. Hakikatnya, permasalahan siswazah menganggur ini sentiasa menjadi cabaran kepada kerajaan walaupun pelbagai program insentif telah dilakukan bagi membolehkan golongan itu mendapat tempat dalam industri. Ini kerana, bajet yang diperuntukkan dalam merealisasikan agenda ini hanyalah sekadar menaik taraf, membiayai pengurusan, menyelenggara, mengiktiraf sijil kemahiran dan membina institusi-institusi teknikal semata-mata dan ini dikatakan antara punca mengapa permasalahan ini masih berterusan.
Selain itu, kerajaan seharusnya meletakkan bajet yang lebih untuk melatih dan menggilap graduan supaya menepati keperluan pasaran seta mampu membantu negara dalam meningkatkan taraf ekonomi negara. Ini kerana, menurut YAB Perdana Menteri 43.5 peratus pendapatan negara adalah daripada sumber minyak mentah yang mana ia menunjukkan bahawa ekonomi negara ini masih lagi dikategori ekonomi tua atau “Old Economy” yang berteraskan kepada sumber asli. Pendapatan lain juga turut bergantung kepada minyak sawit, getah, galian, kayu-kayan yang kesemua sifatnya tak boleh diperbaharui.
Sudah sampai masanya bahawa negara benar-benarnya beredar dari pergantungan kepada “petroleum-based soucres” dan “commodity-based sources” kepada teras yang lain yang menjadikan ekonomi kita tergolong dalam “The New Economy” yang berteraskan kegiatan ekonomi yang sarat dengan “Knowledge” atau Pengetahuan yang dahulunya pernah diuar-uarkan oleh para pemimpin Negara sebagai menjana “knowledge workers”.
Seharusnya perkara ini menjadi keutamaan dan bukan retorik semata-mata kerana ia amat penting bagi meningkatkan semula kepercayaan pelabur kepada negara disamping mewujudkan lebih banyak hubungan dagangan dengan negara luar. Justeru, latihan yang sewajarnya kepada para siswazah adalah penting untuk merealisasikan impian ini.
Dalam Bajet ini juga YAB Perdana Menteri mengulang sebut tentang, membawa ekonomi negara ini dari “Low-Income Economy” kepada “High-Income Economy”. Jika negara kita terus duduk di paras “Low-Income Economy” ini, kuasa membeli dan permintaan domestik kita tetap tidak berupaya. Pendapatan per kapita negara ini hanya RM15,819 setahun berbanding negara seperti Singapura atau Korea Selatan atau Taiwan yang 3 atau 4 kali ganda lebih tinggi.
Bajet kali ini hanya sekadar menyebutkan bahawa kita perlu menjadi ekonomi yang punya pendapatan tinggi, tetapi tidak jelas cara, kaedah dan pendekatan untuk menuju ke matlamat tersebut. Tambahan pula dengan kebanjiran pekerja asing yang tidak punya ketrampilan, maka negara akan kekal dengan kegiataan nilai-tambah yang rendah dalam sektor pertanian dan pembinaan.
High-Income Economy bermula dengan memperkasa pembinaan modal insan terutamanya golongan mahasiswa yang bebas dan kreatif dalam berfikir serta digalakkan dengan iklim kebebasan yang mampu mengakses maklumat dan hak berkarya. Ini berlawanan sifat dengan sebuah kerajaan yang takut memperkasa rakyatnya dengan maklumat dan kebebasan dengan pelbagai akta yang mencekik rakyatnya termasuk ahli akademik dan bijak pandai.
Justeru, Bajet 2010 seharusnya menekankan perlaksanaan satu pelan yang kritikal dari sudut menggilap tenaga kerja yang kreatif dan inovatif serta membuka lebih banyak peluang pekerjaan yang boleh diisi oleh penganggur profesional ini dan bukan sahaja menjanjikan tawaran-tawaran bersifat ”gula-gula” kepada golongan cerdik pandai ini.
Antara ruang yang boleh diberi perhatian oleh kerajaan, adalah seperti yang dijelaskan oleh pemerhati sosial Mohd. Na'eim Ajis iaitu galakan di peringkat awal supaya siswazah mengubah mentaliti daripada makan gaji kepada perniagaan.
Kerajaan juga seharusnya, menggalakkan para siswazah memiliki pemikiran yang kreatif dan inovatif dengan mewujudkan lebih banyak ruang kepada mahasiswa melibatkan diri dengan seluruh aspek kehidupan tanpa dihalang oleh akta-akta tertentu yang boleh merencatkan perkembangan mahasiswa yang cemerlang dalam semua perkara dan tidak hanya tertumpu pada bidang pengajian mereka sahaja.
*Penulis adalah Presiden Persatuan Mahasiswa Islam UTM sesi 09/10














