Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.
Assalamualaikum w.b.t,
Salam Ramadhan Al-Mubarak,
Salam Kemerdekaan.
Alhamdulillah, segala puji kepada Allah S.W.T, kerana dengan izinNya negara yang kita cintai ini iaitu Malaysia masih berada dalam nikmat kemerdekaan, dan hingga kini Malaysia telah mencapai kemerdekaan selama 52 tahun.
Setelah lebih setengah abad Malaysia merdeka daripada penjajahan mana-mana kuasa asing, Malaysia telah mengalami pelbagai transformasi, terutamanya dalam aspek pembangunan fizikal. Sebagai contoh; daripada bangunan yang tidak lebih daripada 4 tingkat; kepada Menara Berkembar Petronas yang melebihi 80 tingkat; daripada jambatan yang menghubungkan 2 kampung, kepada jambatan yang menghubungkan sebuah pulau dengan semenanjung Malaysia; daripada golongan petani, buruh, dan peladang, kepada golongan professional, usahawan, dan intelek. Tranformasi ini telah melonjakkan negara Malaysia daripada negara dunia ketiga kepada status negara membangun. Namun begitu, bagaimana pula dengan aspek kemerdekaan minda rakyat Malaysia?
Penghayatan Budaya Ilmu, Pencetus Kemerdekaan Minda
Mengenai kemerdekaan, Pendita Za’aba mengatakan: “berubah daripada kepercayaan bodoh yang melemahkan akal dan ikhtiar kepada kepercayaan yang cerdik yang membebaskan fikiran; daripada ajaran yang mematikan hati kepada ajaran yang menghidupkan dan menyuburkan dia; daripada i‘tiqad-i‘tiqad yang serong dan terpesong kepada i‘tiqad yang subur dan merdeka; daripada kezaliman pemerintahan berdasarkan hawa nafsu kepada kesalehan; dan daripada fikiran-fikiran yang menahankan dan menyekat kemajuan kepada fikiran yang membebaskan kemajuan dan menggalakkan kemaraan yang baik-baik dan mulia.” (Wan Abd. Kadir, 100 tahun Za’aba, hlm. 124).
Malah ramai cendekiawan Muslim telah menyedari bahawa cabaran utama setelah kemerdekaan fizikal adalah membina jiwa dan minda merdeka. Syed Husain al-Attas telah lama membicarakan tentang minda tawanan (the captive mind) yang dimiliki bukan oleh masyarakat biasa tetapi oleh golongan terpelajar yang tidak dapat melepaskan diri daripada kerangka pemikiran yang telah disediakan oleh para penjajah. Bagi Malik Bennabi, proses penjajahan berlaku sejak sesuatu bangsa memiliki colonisibility (al-qabiliyyah li al-isti‘mar). Kerana yang menghantar sesuatu bangsa kepada penjajahan adalah jiwa dan minda yang lemah dan pasrah. Oleh itu jauh sebelum penjajahan berlaku, bangsa itu sendiri telah memiliki jiwa dan minda yang terjajah. Hal inilah yang mengundang penjajahan berlaku terhadap mereka.
Untuk memahami erti kemerdekaan dengan lebih mendalam kita perlu memahami musuh kemerdekaan iaitu penindasan. Berbeza dengan penjajahan, penindasan memiliki erti yang lebih luas. Jika penjajahan selalu dikaitkan dengan kuasa asing, penindasan mencakupi segala bentuk pemaksaan kehendak daripada yang berkuasa kepada yang dikuasai. Kesan penindasan tidak terhenti setakat aspek fizikal tetapi meliputi aspek psikologi atau kejiwaan dan pemikiran. Penindasan akan mengakibatkan rakyat pasrah, merasa hina, keadaan jiwa ini akhirnya menyebabkan rakyat tidak memiliki daya juang, tidak produktif dan tidak kreatif.
Oleh itu, adalah sangat penting bagi setiap rakyat menghayati dan menyuburkan budaya ilmu bagi menangkis penindasan dan penjajahan minda, yang kuat menyerang, khususnya kepada golongan muda.
Ibrah Daripada Peristiwa Ramadhan; Kemenangan Dan Kemerdekaan
Sempena bulan Ramadhan yang penuh dengan keberkatan ini, elok juga kita menghayati siri-siri kemenangan umat Islam yang pernah berlaku dalam bulan Ramadhan, di man peristiwa ini bukan setakat berjaya memerdekakan umat manusia daripada penjajahan fizikal, malah melonjakkan manusia daripada kemunduran kepada kegemilangan tamadun manusia. Antaranya:-
· Perang Badar & Serangan Ke Atas Quraish (17 Ramadan 2H/Mac 624M)
· Pembukaan Kota Mekah(Fathul Makkah) (20 Ramadan 8H/Januari 630M)
· Peperangan Al-Buwaib & Serangan ke atas Parsi (11 Ramadan 13H/November 834M)
· Pembukaan Al-Andalus & Kemasukan Islam Ke Eropah (28 Ramadan 91H/Julai 710M)
· Pembukaan Amuriyyah & Serangan Ke Atas Rom (6 Ramadan 223H/Ogos 838M)
· Peperangan Ain Jalut & Serangan Ke Atas Tartar (25 Ramadan 658H/3 September 1260M)
· Pembebasan Sinai & Serangan Ke Atas Israel (10 Ramadan 1393H/6 Oktober 1973M)
Semoga dalam bulan yang mulia ini, di samping meningkatkan ibadat khusus kepada Allah S.W.T, marilah juga kita meningkatkan penghayatan budaya ilmu, agar menjadi perisai daripada penjajahan pemikiran dan minda.

Assalamualaikum dan salam sejahtera.
Team Fasi Lujnah Pendidikan dan Kepimpinan PMIUTM akan menganjurkan bengkel asas kemahiran fasilitator pada hari Sabtu, 29hb Ogos 2009 bertempat di Dewan Al-Ghazali, MSI. Bengkel yang akan bermula pada pukul 8pagi dan berakhir pada pukul 6 petang ini bertujuan untuk mengasah bakat serta mendedahkan ilmu-ilmu berkaitan dengan kemahiran untuk menjadi seorang fasilitator yang hebat. Selain itu, bengkel ini juga bertujuan untuk meningkatkan kemahiran-kemahiran asas seorang mahasiswa seperti kemahiran berkomunikasi, pengucapan awam serta menyemai jiwa sebagai seorang pemimpin yang bakal berinteraksi dan berhadapan dengan pelbagai lapisan masyarakat kelak.
Bengkel ini bakal menampilkan 2 orang penceramah iaitu Ust Dr. Mohd Ismail B. Mustari, penasihat PMIUTM dan Dr. Hamdan dari Pusat Kaunseling dan Kerjaya UTM. Ust. Ismail akan menyampaikan ceramah yang bertajuk “Peserta Program Bermasalah? Bagaimana Mengatasinya? “ manakala Dr. Hamdan akan mengupas tajuk berkenaan dengan Etika Fasilitator Hebat. Selain slot ceramah, bengkel ini juga bakal diisi dengan slot-slot lain seperti LDK dan juga slot brainstorming.
Untuk makluman, pihak PMIUTM banyak menerima undangan untuk menjayakan kursus-kursus motivasi di sekolah-sekolah menengah dan rendah dalam negeri Johor. Terbaru, pihak PMIUTM di bawah kendalian LPK PMIUTM dijemput untuk menjayakan Kem Motivasi & Jati Diri (KEJAR ’09) yang telah diadakan di Sekolah Menengah Kebangsaan Tanjung Pengelih, Pengerang, Johor.
Justeru, Team Fasi LPK telah bertindak untuk menganjurkan bengkel ini bagi melatih mahasiswa mahasiswi tahun 1 khususnya yang berada dalam LPK PMIUTM sebagai persediaan awal kepada mereka untuk menjadi seorang fasilitator yang mampu membawa agenda dakwah itu sendiri di samping dapat menerapkan nilai-nilai murni kepada para peserta program nanti.
Oleh itu, semua sahabat LPK PMIUTM dan mahasiswa mahasiswi UTM dijemput hadir. Yuran sebanyak RM 5 dikenakan. Untuk penyertaan dan pertanyaan lanjut, boleh hubungi saudara Azmi 013-7917680 (mahasiswa) dan Ratna 013-9718077(mahasiswwi). –Team Fasi LPK-
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.
Salam Ramadhan & Perjuangan.
Ramadhan Kareem menjelma lagi,
Setelah setahun kita menanti,
Disambut dengan syukur di hati,
Semoga terisi dengan barokah Ilahi.
Alhamdulillah, syukur ke hadrat Allah S.W.T kerana dengan izin-Nya, bulan Ramadhan al-Mubarak yang dinanti-nanti oleh seluruh pencinta ibadah telah kunjung tiba akhirnya. Tidak dapat digambarkan perasaan gembira dan syukur kerana diberikan peluang sekali lagi untuk melalui bulan yang penuh barokah dan tarbiyyah ini. Sudah semestinya, sahabat sahabiah tentunya tidak mahu melepaskan peluang yang terhidang ini begitu sahaja. Saya yakin dan percaya, pelbagai persiapan dan persediaan mental fizikal telah sahabat lakukan untuk bersama-sama kita mengutip maghfirah dan barokah yang terhidang di sepanjang bulan ini, InsyaAllah.
Ramadhan Bulan Tarbiyyah
Bila menjelmanya Ramadhan,ianya seringkali dikaitkan dengan bulan latihan ibadah. Memang benar, kita akan berlumba-lumba untuk meningkatkan amalan-amalan yang sebelum ini biasa dilakukan, namun bila tibanya Ramadhan ini, kita semakin rancak melazimi amalan-amalan ini. Sudah tentunya, umum mengetahui ganjaran yang dijanjikan oleh Allah mengenai kelebihan dan kemuliaan bulan ini di samping pada ketika dan waktu ini, seluruh syaitan telah dibelenggu oleh Allah. Peluang yang harus digunakan oleh kita selaku kaum Muslimin kerana syaitan yang dibelenggu ini sebenarnya memberikan kelebihan kepada kita di mana potensi untuk syaitan menghasut kita berbuat kejahatan semakin berkurang. Sesungguhnya, ini terdapat dalam satu hadis yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari dan Muslim yang berbunyi “Sesungguhnya syaitan itu bergerak di dalam diri anak Adam melalui saluran darah. Maka sempitkanlah perjalanannya dengan berlapar”. Pada saat ini juga, pintu-pintu rahmat telah dibuka serta ditutup segala pintu neraka, sebagaimana sabda Nabi Muhammad S.A.W mengenainya dalam satu hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah R.A yang berbunyi:
“Apabila tiba Ramadhan, maka pintu rahmat akan dibuka, pintu neraka Jhannam akan ditutup, dan syaitan akan ditambat.”
Oleh yang demikian, inilah peluang dan kesempatan yang terbaik bagi kita selaku mahasiswa Islam yang sedang menuntut ilmu di kampus untuk sama-sama kita mendidik diri di samping meningkatkan amalan-amalan kita disisi-Nya. Keberkatan dan kelebihan bulan Ramadhan yang mana Al-Quranul Kareem diturunkan dari Lauh Mahfuz ke Baytul Izza dan terdapat satu malam yang lebih baik dari seribu bulan iaitu malam Laylatul Qadar tidak harus dibiarkan terlepas begitu sahaja tanpa mendahulukan untuk mentarbiyyah diri kita supaya merasai kenikmatannya.
Taqwa Bukan hanya dalam Bulan Ramadhan
Sahabat mahasiswa yang dirahmati Allah,
Firmanullah S.W.T dalam surah al-Baqarah:
“Wahai orang-orang yang beriman, diwajibkan ke atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan ke atas orang-orang sebelum kamu agar kamu bertaqwa” [ ayat 183].
Saidina Umar R.A pernah bertanya kepada sahabatnya Abdullah Bin Ka’ab tentang Taqwa. Lalu Abdullah bin Ka’ab menjawab dengan memberikan persoalan kepada Saidina Umar dengan bertanyakan: “Pernahkah anda melalui satu jalan yang dipenuhi duri? Bagaimanakah anda melaluinya?” Maka dijawab oleh Saidina Umar “Ya, tentu sekali. Apabila aku melaui jalan yang dipenuhi duri, maka aku akan mengangkat sedikit pakaianku lalu aku berjalan dengan berhati-hati supaya tidak terpijak duri-duri itu”. “Maka, itulah taqwa.” Jawab Abdullah Bin Kaab.
Lihatlah sahabat dan sahabiah, sifat berhati-hati serta teliti semasa menjalani ibadah puasa merupakan prasyarat yang diutamakan untuk kita memperoleh darjah ketaqwaan Allah. Bukan hanya setakat menahan lapar dan dahaga, malah kita juga dituntut untuk menahan segala perkara yang tidak membawa faedah serta perkara yang membawa kepada kemaksiatan.
Berdasarkan ayat di atas juga, Allah S.W.T telah mewajibkan kita untuk berpuasa, mudah-mudahan kita akan menjadi hamba-Nya yang bertaqwa. Perlu difahami disini, untuk mencapai Taqwa yang dijanjikan bukannya mudah. Ianya memerlukan mujahadah beserta keikhlasan yang tinggi. Walaubagaimanapun, harus diingat bahawa darjah Taqwallah itu bukanlah hanya ada di dalam bulan Ramadhan sahaja. Ianya ada selagi kita masih dikurniakan nafas ini. Cuma, apa yang penting adalah, kita dituntut agar berusaha dengan istiqamah untuk mencapainya.
Akhirul kalam, saya ingin mengajak sahabat sahabiah mahasiswa Islam untuk kita sama-sama mengahayati Ramadhan Al-Mubarak pada tahun ini supaya bilamana kita semua keluar daripada madrasah Ramadhan ini, kita dapat membentuk peribadi Mukmin yang lebih baik dari sebelumnya. Salam Ramadhan untuk semua. Siiru ala barakatillah.
KUALA LUMPUR 19 Ogos – Naib Canselor Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Profesor Datuk Dr. Zaini Ujang diumumkan sebagai salah seorang daripada empat penerima Anugerah Merdeka 2009.
Beliau menerima anugerah berprestij itu bagi kategori Pencapaian Ulung Akademik berikutan sumbangannya dalam pelbagai inisiatif alam sekitar berkaitan bekalan air, kumbahan, pemuliharaan sungai dan ekologi industri.
Zaini, 44, merupakan penerima pertama kategori berkenaan selepas tahun lalu tiada tokoh yang memenuhi kriteria jawatankuasa pemilihan.
Senarai penerima Anugerah Merdeka 2009 diumumkan Pengerusi Lembaga Pemegang Amanahnya, Tan Sri Mohd. Hassan Marican di sini hari ini.
Seorang Pensyarah Jabatan Kimia UTM, Profesor Dr. Halimaton Hamdan, 53, turut menerima Anugerah Merdeka kategori Kesihatan, Sains dan Teknologi.
Ia mengiktiraf kejayaan Halimaton menghasilkan ‘Maerogel’ iaitu sejenis ‘aerogel’ daripada sekam padi sekali gus mengurangkan 80 peratus kos penghasilannya.
Bahan itu mempunyai nilai komersial tinggi dan boleh diguna untuk mengurangkan suhu panas bangunan konkrit, menyerap tumpahan minyak serta pencemaran udara dan dijadikan panel kalis bom.
Anugerah Merdeka bagi kategori Pendidikan dan Komuniti pula dimenangi secara bersama oleh dua tokoh wanita iaitu Tun Fatimah Hashim dan Datuk Lim Phaik Ghan.
Fatimah, 85, merupakan wanita pertama dilantik sebagai Menteri Kabinet dan tokoh pejuang hak wanita.
sumber: Utusan Malaysia
Selepas meninggalkan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) 23 tahun lalu, hanya beberapa kali saya singgah di kampus Jalan Semarak itu meskipun sering melintasinya ketika pulang dari pejabat.
Namun pada 11 Ogos lalu, saya tergerak untuk mengikuti syarahan perdana Naib Canselor, Prof Dr Zaini Ujang, bertajuk Universiti, Kreativiti, Inovasi. Dan memang berbaloi saya mengorbankan 'waktu tidur petang' selepas menyiapkan deadline Harakah.
Zaini, 43, naib canselor termuda, merupakan teman lama sewaktu aktif dalam gerakan pelajar sekitar 1984-86. Walaupun tidak berkesempatan menyerlahkan sepenuhnya daya kepimpinan beliau sewaktu menggerakkan Persatuan Mahasiswa UTM, bakat alam Zaini cukup terserlah.
Intipati syarahannya pada petang Selasa itu mengingatkan saya idealisme Zaini yang tidak pernah pudar. Tanggapannya terhadap konsep universiti, budaya ilmu dan tugas kesarjanaan kekal segar.
Ini tidak menghairankan; Zaini dikenali sejak mahasiswa sebagai ulat buku, pencinta ilmu, yang kemudiannya penulis prolifik yang memenatkan para editor di Penerbit UTM Press!
Bayangkan untuk tahun ini sahaja sudah enam judul bukunya diterbitkan.
Antara lain Zaini mengungkapkan senario semasa yang perlu diubah: "... betapa menjadi pensyarah tidak lagi memerlukan kemantapan intelektual dan kesegaran idealisme terhadap akademia ... Aspek yang menjurus kepada pembinaan minda kelas pertama dan pembudayaan ilmu seperti wacana, diskusi, 'kegilaan membaca dan menulis' dan persekitaran yang mesra intelektualisme tidak lagi menjadi trend dan aset penting.
"Tidak ada lagi debat atau diskusi ilmiah tentang isu-isu pokok yang membabitkan perkembangan isu semasa dalam arena politik, ekonomi, sosial, sains dan teknologi. Kalaupun ada jarang sekali dianjurkan. Itu pun dengan segala macam syarat dan perkiraan supaya tidak bersifat sensasi dan sensitif. Akhirnya aktiviti kampus yang sepatutnya meriah ilmu menjadi hambar dan lesu ..."
Walaupun kehadiran Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Saifuddin Abdullah adalah untuk merasmikan majlis syarahan perdana itu, namun ucapannya juga menggugah pemikiran dan mencetuskan minat audien.
Agak lama tidak mendengar pak menteri bercakap dengan nada dan lenggok Saifuddin, terutama selepas Anwar Ibrahim dipecat. Kupasannya tentang dunia ilmu nampak original dan selari dengan Zaini.
Lebih dari itu, secara peribadi saya melihat Saifuddin mempunyai 'keberanian' tersendiri khususnya apabila membicarakan soal idealisme mahasiswa dan kaitan dengan dunia politik.
Dalam satu program Astro Awani, Saifuddin ditanya hal pembabitan mahasiswa dengan pergolakan semasa. Timbalan menteri dalam jawapannya banyak memberi ruang buat pelajar untuk bereksperimen. "Biar mahasiswa menentukan diri mereka sendiri," begitulah antara yang beliau sering tekankan.
Dari sudut ini, saya kira, jalur pemikiran Saifuddin nyata berbeza dengan rakan-rakannya dalam Umno dan kerajaan. Malah ketika menyampaikan ucaptama dalam kongres anjuran Pertubuhan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM), 8 Ogos lalu, beliau dilaporkan memuji penganjurnya kerana lantang berjuang supaya Akta Universiti dan Kolej Universiti dipinda.
Dalam sidang media selepas itu, Saifuddin berkata, selepas pindaan Auku, mahasiswa boleh terlibat lebih banyak dalam politik.
Ditanya sama ada kementeriannya telah mengenal pasti mahasiswa yang terlibat dalam demonstrasi anti-ISA, 1 Ogos, Saifuddin hanya menjawab "tidak ada". Lebih menarik apabila beliau menyoalnya kembali: "Apa masalahnya dia hendak demonstrasi?"
Saifuddin dan Zaini mungkin dilihat sebagai watak-watak baru yang diharap berupaya memecahkan kongkongan lapuk di kampus-kampus, yang sekian lama menderita terpasung.
Malangnya lebih ramai pentadbir universiti, apatah lagi golongan penguasa, yang terus terikat dengan pendekatan kuno, dan meletakkan warga kampus dalam penjara terbuka.
MY HEARTIEST CONGRATULATIONS TO ALL THE STAFF AND STUDENTS OF UTM
Ust Mohd Ismail Bin Mustari, Timbalan Pengarah Pusat Islam UTM telah dilantik sebagai Penasihat baru kepada Persatuan Mahasiswa Islam UTM menggantikan Dr Sulaiman Bin Kadikon yang telah menamatkan kontrak baru-baru ini.