PERLEMBAGAAN
PERSATUAN
MAHASISWA
ISLAM
SESI 2009
BAB 1 : NAMA, MOTTO DAN TEMA
1.0 Nama persatuan ini ialah :
1.1. "PERSATUAN MAHASISWA ISLAM, UNIVERSITI TEKNOLOGI MALAYSIA". Nama ringkasnya ialah "PMIUTM".
1.2. Motto persatuan ini adalah "BERSAMA MEMBANGUN UMMAH".
1.3. Alamat : d/a Pejabat Hal Ehwal Pelajar,
Universiti teknologi Malaysia,
81310 Skudai, Johor.
BAB 2 : TUJUAN
1.0 Tujuan persatuan ini ialah :
1.1. Melahirkan mahasiswa Muslim yang memahami konsep Islam yang sebenarnya, merangkumi kehidupan duniawi dan ukhrawi berdasarkan Syariah Islamiah.
1.2. Memupuk semangat kesedaran Islam serta peningkatan kualitinya sehingga lahir sebagai seorang muslim sejati yang sanggup menghadapi cabaran semasa.
1.3. Menjadi pemangkin pergerakan mahasiswa Islam Universiti Teknologi Malaysia.
1.4. Membina dan mengeratkan persaudaran mahasiswa Islam Universiti Teknologi Malaysia dengan masyarakat kampus dan masyarakat luar kampus.
1.5. Menjadi wakil untuk mengemukakan kesulitan, tuntutan, dan permintaan mahasiswa Islam kepada pihak berkuasa dan badan-badan lain yang bertanggungjawab dalam hal-hal kebajikan, pelajaran, kebudayaan dan kesusasteraan mahasiswa Islam.
1.6. Mewakili mahasiswa Islam Universiti Teknologi Malaysia dalam persidangan-persidangan persatuan pelajar-pelajar Islam, badan-badan Islam dan badan-badan lain dengan mendapat keizinan Timbalan Naib Canselor (HEP) terlebih dahulu.
1.7. Memajukan pendidikan Islam yang sangat diperlukan oleh masyarakat sebagai usaha untuk menyediakan benteng bagi memelihara Aqidah dan Syan'ah Islamiah.
1.8. Mengintegrasikan pendidikan Agama Islam dan akademik di kalangan mahasiswa Islam bagi melahirkan generasi mahasiswa yang lengkap dengan kedua-dua bidang.
BAB 3 : AKTIVITI
1.0 Segala aktiviti PMIUTM mestilah berlandaskan kepada Islam dan mengikut peraturan serta akta-akta yang terkandung dalam Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) serta Perlembagaan Malaysia.
2.0 Menjalankan latihan dan kursus-kursus kefahaman Islam serta mengadakan program khidmat masyarakat bagi mewujudkan semangat cintakan bangsa, Agama dan negara.
3.0 Menjalankan pelbagai aktiviti untuk merapatkan perpaduan di kalangan pelajar dan masyarakat.
4.0 Membantu badan-badan pelajar atau pelajar-pelajar Islam yang benar-benar memerlukan bantuan nasihat dan kebajikan.
5.0 PMIUTM hendaklah bebas daripada arahan atau pengaruh mana-mana badan politik, pergerakan militan atau ekstremis.
6.0 Menerbitkan majalah dan risalah persatuan yang menerangkan aktiviti persatuan.
BAB 4 : KEAHLIAN
1.0 Keahlian Persatuan Mahasiswa Islam adalah :
1.1. Ahli berdaftar : mana-mana ahli pelajar Universiti Teknologi Malaysia yang mengisi borang keahlian Persatuan Mahasiswa Islam, Universiti Teknologi Malaysia.
2.0 Cara menjadi ahli adalah :
2.1. Permohonan hendaklah dibuat dalam borang yang disediakan oleh Persatuan Mahasiswa Islam.
2.2. Setiap pelajar yang memohon untuk menjadi ahli Persatuan Mahasiswa Islam hendaklah mengemukakan permohonannya kepada Setiausaha Agung persatuan dan hendaklah pada masa yang sama menghantar satu salinan permohonan kepada pendaftar melalui Setiausaha Agung persatuan ini.
2.3. Majlis eksekutif adalah berhak untuk melulus atau menolak permohonan jika didapati tidak memenuhi syarat.
BAB 5 : HAK-HAK AHLI
1.0 Setiap ahli berdaftar berhak :
1.1. Mencadang, nienyokong dan memberi pandangan dalam hal-hal yang berkaitan dengan kebajikan ahli dan kecemerlangan persatuan.
1.2. Mengundi dalam semua mesyuarat agung persatuan.
1.3. Bertanding untuk dipilih bagi memegang jawatan Majlis Eksekutif dan Exco Persatuan tertakluk kepada syarat-syarat berikut :
i. Tiada seseorang pelajar yang keputusan pembicaraan tatatertib terhadapnya masih ditunggu, atau yang telah didapati bersalah atas suatu kesalahan tatatertib, boleh dipilih atau terus lagi menjadi seorang ahli kelab.
ii. Pencapaian akademik hendaklah memuaskan.
iii. Permohonan bertanding hendaklah melalui borang yang disediakan.
iv. Seseorang pelajar yang belum lagi masuk peperiksaan yang pertama di Universiti bagi kursus pengajiannya atau yang telah gagal atau yang tidak masuk peperiksaan yang baharu lalu yang diadakan oleh Universiti bagi kursus pengajian itu sebelum sahaja sesuatu pemilihan atau pemilihan-pemilihan yang dicadangkan bagi kelab atau oleh kelab atau oleh jawatankuasa dalam kelab adalah hilang kelayakan daripada dipilih dalam pemilihan atau pemilih-pemilih itu.
v. Ahli tidak memegang apa-apa jawatan dalam mana-mana persatuan untuk tempoh pemilihan tersebut.
vi. la bukan merupakan pelajar tahun akhir pengajian.
vii. Memiliki kecenderungan akhlak-akhlak Islam serta tidak melakukan perbuatan yang dianggap boleh menjatuhkan imej Islam dan persatuan.
2.0 Meminta secara bertulis untuk melihat rekod-rekod dan akaun-akaun kelab dengan syarat memberitahu secara bertulis satu minggu terlebih dahulu kepada Setiausaha Agung.
3.0 Tertakluk kepada Bab 8 perkara 3.0, memohon untuk mengadakan Mesyuarat Agung Luarbiasa.
4.0 Tertakluk kepada pemohonan kepada TNC (HEP) untuk menggantung / membubar mana¬-mana ahli Majlis Tertinggi Kelab.
5.0 Tanggungjawab ahli berdaftar :
5.1. Menghormati dan patuh kepada perlembagaan persatuan ini.
5.2. Patuh kepada segala keputusan yang diambil dalam semua mesyuarat persatuan.
5.3. Melaksanakan semua tugas yang telah diamanahkan oleh persatuan kepadanya.
5.4. Semua ahli mesti menjaga akhlak yang mungkin menjejaskan nama baik persatuan ini.
5.5. Ahli-ahli akan digantung keahliannya jika melanggar hukum-hukum syarak mengikut budi bicara satu jawatankuasa khas yang ditubuhkan oleh Penasihat Persatuan ini. Nama-nama ahli yang digantung keahliannya akan diumumkan oleh Penasihat Persatuan.
BAB 6 : KEWANGAN
1.0 Persatuan, ahli Majlis Eksekutif / Majlis Eksekutif tidak boleh menyenggara apa-apa kumpulan wang atau membuat apa-apa pungutan wang atau harta dari mana-mana sumber sekalipun kecuali dengan kebenaran menteri.
2.0 Tertakluk kepada perenggan (1), semua pungutan hendaklah di atas nama Bendahari Universiti.
3.0 Apa-apa perbelanjaan yang berpatutan yang dilakukan oleh persatuan dengan terlebih dahulu dibenarkan secara bertulis oleh Naib Canselor boleh dibayar oleh universiti jika tuntutan-tuntutan bertulis yang berpatutan disokong dengan resit-resit dan baucer-baucer.
BAB 7 : MAJLIS EKSEKUTIF
1.0 Majlis Eksekutif Persatuan Mahasiswa Islam terdiri daripada :
1.1. Presiden
1.2. Timbalan Presiden
1.3. Naib Presiden
1.4. Setiausaha Agung
1.5. Bendahari Agung
Lain-lain jawatan exco akan ditentukan oleh Majlis Eksekutif dengan kebenaran secara bertulis oleh Naib Canselor.
2.0 Semua pemegang jawatan adalah dipilih untuk tempoh selama satu tahun oleh Mesyuarat Agung dan tidak boleh memegang lebih daripada satu jawatan dalam mana-mana persatuan pada satu-satu masa.
3.0 Tanggungjawab Majlis Eksekutif :
3.1. Majlis Eksekutif boleh membentuk dari semasa ke semasa dengan terlebih dahulu mendapat kebenaran secara bertulis daripada Naib Canselor, jawatankuasa-jawatankuasa ad-hoc daripada kalangan ahli-ahli berdaftar persatuan ini bagi maksud dan tujuan yang tertentu mana-mana ahli berdaftar persatuan ini kecuali mereka yang dikenakan tindakan tatatertib.
3.2. Memanggil mesyuarat agung luarbiasa persatuan ini bagi membincangkan sesuatu yang dianggap perlu tertakluk kepada perkara BAB 8 perkara 3 perenggan 1.
3.3. Menerima perletakan jawatan daripada mana-mana ahli majlis eksekutif dan jawatankuasa ad-hoc.
3.4. Boleh memenuhi segala kekosongan jawatan sama ada dari kalangan Majlis Eksekutif melalui mesyuarat Majlis Eksekutif atau dari kalangan ahli berdaftar persatuan dengan mengadakan mesyuarat agung luar biasa dan melaporkan kepada pendaftar.
3.5. Merancang, melaksana, mengawasi dan menilai aktiviti persatuan bersesuaian dengan matlamat penubuhan persatuan sepanjang tempoh tahun perkhidmatan.
3.6. Majlis Eksekutif persatuan boleh dari semasa ke semasa membuat perintah tetap untuk mengawal perjalanan mesyuaratnya dengan syarat bahawa perintah tetap itu tidak boleh berlawanan dengan Statut Universiti Teknologi Malaysia (Persatuan-persatuan Pelajar) 199... atau dengan mana-mana peruntukan lain undang-undang bertulis berhubung dengan mana-mana petunjuk, arahan atau kehendak yang sah yang diberi atau dibuat oleh Majlis atau mana-mana pegawai atau membuat petunjuk, arahan atau kehendak itu. Satu salinan perintah tetap itu dan apa-apa pindaan padanya hendaklah dihantar oleh Setiausaha Agung kepada Pendaftar Persatuan selepas sahaja ia dibuat.
3.7. Bertanggungjawab terhadap semua urusan dan perjalanan Persatuan ini.
4.0 Mesyuarat Majlis Eksekutif :
4.1. Majlis Eksekutif hendaklah mengadakan mesyuarat dari semasa ke semasa sebagaimana yang difikirkan perlu dan adalah menjadi kewajipan Setiausaha Agung menyimpan minit-minit mesyuarat yang berikutnya dan satu salinan minit mesyuarat hendaklah dikemukakan kepada Pendaftar.
4.2. Mesyuarat Majlis Eksekutif hendaklah dipanggil oleh Setiausaha Agung dengan memberi notis bertulis tidak kurang dari tiga (3) hari sebelum mesyuarat.
4.3. Tidak kurang dari dua pertiga (2/3) ahli Majlis Eksekutif membentuk satu korum.
4.4. Bagi sesuatu perkara yang mendesak dan mesyuarat Majlis Eksekutif tidak dapat diadakan untuk membincangkan perkara itu, Setiausaha Agung boleh mengadakan mesyuarat Pekeliling dan memperoleh persetujuan majoriti daripada ahli-ahli Majlis Eksekutif secara bertulis. Perkara ini hendaklah dilaporkan oleh Setiausaha Agung kepada mesyuarat Majlis Eksekutif yang berikutnya.
4.5. Mana-mana ahli Majlis Eksekutif yang tidak hadir 3 kali berturut-turut tanpa memberi sebab-sebab yang munasabah kepada Majlis Eksekutif hendaklah disifatkan sebagai telah meletakkan jawatannya dan Majlis Eksekutif perlu mengemukakan laporan kepada Pendaftar.
4.6. Keputusan mesyuarat Majlis Eksekutif hendaklah diambil mengikut undi terbanyak dengan tidak kurang dua pertiga (2/3) daripada ahli-ahli Majlis Eksekutif yang hadir mengundi.
4.7. Pendaftar boleh menghadiri mana-mana mesyttarat Majlis Eksekutif.
5.0 Ahli Majlis Eksekutif :
5.1. Presiden
5.1.1. Menjadi pengerusi bagi semua mesyuarat Majlis Eksekutif dan menandatangani minit mesyuarat yang telah disahkan.
5.1.2. Berhak menetapkan semua mesyuarat.
5.1.3. Mengeluarkan kenyataan kepada ahli mengenai rancangan persatuan ini.
5.1.4. Bersama dengan Majlis Eksekutif menimbangkan dan memutuskan bagi persatuan perkara-perkara pentadbiran dan aktiviti persatuan yang memerlukan tindakan segera.
5.1.5. Bersama Bendahari Agung mengesahkan segala tuntutan perbelanjaan bagi kelulusan Naib Canselor.
5.1.6. Bertanggungjawab terhadap perjalanan pentadbiran persatuan.
5.2. Timbalan Presiden
5.2.1. Membantu Presiden dalam urusan-urusan Persatuan.
5.2.2. Dalam ketiadaan Presiden oleh sebab ketidakupayaan, sakit, cuti atau apa¬-apa sebab yang munasabah untuk menjalankan mana-mana daripada tugas jawatannya, maka Timbalan Presiden hendaklah menjalankan tugas itu.
5.3. Naib Presiden
5.3.1. Membantu Timbalan Presiden dalam urusan-urusan Persatuan.
5.3.2. Dalam ketiadaan Timbalan Presiden oleh sebab ketidakupayaan, sakit, cuti atau apa-apa sebab yang munasabah untuk menjalankan mana-mana daripada tugas jawatannya, maka Naib Presiden hendaklah menjalankan tugas itu.
5.4. Setiausaha Agung
5.4.1. Menjadi ketua sekretariat persatuan.
5.4.2. Bertanggungjawab atas semua urusan surat-menyurat persatuan dan mesyuarat-mesyuarat persatuan ini.
5.4.3. Menyimpan rekod dan minit mesyuarat persatuan.
5.4.4. Menyediakan laporan tahunan persatuan yang lengkap dan kemaskini.
5.4.5. Menjalankan tugas khas yang diputuskan oleh mesyuarat Majlis Eksekutif.
5.4.6. Menyimpan senarai ahli-ahli berdaftar persatuan dengan lengkap dan hendaklah mengemukakan daftar kemaskini untuk pemeriksaan oleh Pendaftar apabila dikehendaki.
5.4.7. Bertanggungjawab memanggil semua ahli mesyuarat.
5.5. Bendahari Agung
5.5.1. Menyediakan penyata dan laporan kewangan persatuan ini.
5.5.2. Menyimpan akaun-akaun persatuan seperti yang ditetapkan Bendahari Universiti.
5.5.3. Bendahari Agung hendaklah menyimpan akaun-akaun persatuan dengan sepatutnya dan tidak lewat daripada tiga (3) bulan selepas akhir tiap-tiap tahun kewangan, iaitu suatu tahun kewangan sebagaimana yang ditentukan oleh Naib Canselor suatu salinan akaun-akaun tersebut yang diaudit oleh seorang yang dilantik oleh Majlis hendaklah dikemukakan oleh persatuan kepada Majlis untuk diluluskan.
5.5.4. Bersama Presiden mengesahkan dan mengemukakan tuntutan-tuntutan yang berpatutan yang disokong dengan resit dan baucer-baucer itu bagi diluluskan oleh Naib Canselor untuk dibayar oleh universiti.
5.5.5. Bertanggungjawab penuh atas soal kewangan persatuan ini.
5.6. Lain-lain jawatan Exco yang ditentukan oleh majlis Eksekutif dengan mendapat kelulusan Naib Canselor.
5.6.1. Menjalankan tugas-tugas seperti yang ditetapkan oleh Majlis Eksekutif.
BAB 8 : MESYUARAT AGUNG
1.0 Mesyuarat Agung Persatuan Mahasiswa Islam hendaklah dipanggil oleh Setiausaha Agung dan mesyuarat-mesyuarat itu ialah :
1.1. Mesyuarat Agung Tahunan
1.2. Mesyuarat Agung Luarbiasa
2.0 Agenda Mesyuarat Agung Tahunan hendaklah mengandungi:
2.1. Hendaklah diadakan dalam Semester Pertama selewat-lewatnya seminggu sebelum pilihanraya Majlis Perwakilan Pelajar.
2.2. Agenda Mesyuarat :
2.2.1. Ucapan Presiden.
2.2.2. Ucapan Dari Tetamu Jemputan (jika ada).
2.2.3. Pembentangan untuk pengesahan :
2.2.3.1. Laporan Tahunan.
2.2.3.2. Minit Mesyuarat Agung yang lepas.
2.2.3.3. Penyata Kewangan Persatuan.
2.2.4. Membincangkan perkara yang telah diberitahu lebih awal kepada Setiausaha Agung.
2.2.5. Memilih Majlis Eksekutif dan Exco baru.
2.2.6. Mengumumkan segala minit, laporan usul, akaun yang telah diaudit dan lain-lain kertas mesyuarat sekurang-kurangnya tujuh (7) hari sebelum mesyuarat.
2.3. Notis Mesyuarat dan Korum
2.3.1. Notis Pemberitahuan bagi Mesyuarat Agung Tahunan hendaklah ditampal di papan-papan kenyataan Universiti Teknologi Malaysia beserta dengan agendanya sekali sekurang-kurangnya tujuh (7) hari sebelum mesyuarat diadakan. Salinan notis ini hendaklah juga dikemukakan kepada Pendaftar.
2.3.2. Korum bagi Mesyuarat Agung Tahunan ialah satu perempat (1/4) daripada jumlah Ahli Berdaftar dengan syarat jika jumlah itu tidak tercapai, maka dengan kebenaran khas daripada Naib Canselor, mesyuarat boleh dijalankan dengan tidak kurang dari sepuluh (10) Ahli Berdaftar hadir.
2.3.3. Jika kehendak para (2.3.2) tidak dapat dicapai selepas menunggu setengah jam, mesyuarat hendaklah ditangguh ke suatu tarikh yang ditetapkan oleh Majlis Eksekutif dan kali ini mesyuarat boleh dijalankan tanpa korum tetapi mesyuarat tidak boleh membuat keputusan mengenai pindaan peraturan clan perkara-perkara yang berhubung dengan hak ahli-ahli.
3.0 Mesyuarat Agung Luarbiasa
3.1. Mesyuarat Agung Luarbiasa hendaklah diadakan apabila ada permintaan dari tiga puluh (30) atau lebih ahli-ahli Persatuan yang menandatangani surat rasmi memohon supaya ianya diadakan dengan syarat diluluskan oleh Naib Canselor.
3.2. Mesyuarat Agung Luarbiasa juga boleh diadakan atas kehendak Majlis Eksekutif dengan syarat ianya diluluskan terlebih dahulu oleh Naib Canselor.
3.3. Notis mesyuarat dan agendanya hendaklah ditampal di papan kenyataan tiga (3) hari sebelum mesyuarat ini.
3.4. Korum bagi Mesyuarat Agung Luarbiasa hendaklah tidak kurang daripada setengah (1/2) daripada jumlah Ahli Berdaftar.
4.0 Pendaftar persatuan pelajar boleh hadir dalam mana-mana mesyuarat dan dia boleh mengawasinya atau apa-apa arahan mengenainya yang difikirkan patut.
5.0 Keputusan Mesyuarat Agung hendaklah diambil mengikut undi (sulit atau tidak sulit) terbanyak dengan tidak kurang dari dua pertiga (2/3) ahli-ahli berdaftar yang hadir dan mengundi serta satu salinan minit mesyuarat hendaklah dikemukakan kepada Pendaftar.
BAB 9 : PERUBAHAN DAN PINDAAN PERLEMBAGAAN
1.0 Cadangan pindaan terhadap Perlembagaan Persatuan Mahasiswa Islam hanya boleh dibuat dalam Mesyuarat Agung Tahunan sahaja dengan syarat butir-butir pindaan itu dikemukakan kepada Ahli-ahli Berdaftar persatuan sekurang¬-kurangnya tujuh (7) hari sebelum mesyuarat dan cadangan pindaan adalah sah diterima untuk dikemukakan kepada Naib Canselor sekiranya 2/3 daripada Ahli Berdaftar yang hadir dan mengundi bersetuju.
2.0 Setiausaha Agung bendaklah mengemukakan mengenai cadangan pindaan kepada Naib Canselor seperti yang dipertimbangkan oleh Majlis.
3.0 Cadangan pindaan kepada perlembagaan hanya berkuatkuasa setelah ianya diluluskan oleh Majlis Universiti.
BAB 10 : TAFSIRAN PERLEMBAGAAN
1.0 Jika sekiranya berlaku sebarang pertelingkahan mengenai perkara-perkara dalam Perlembagaan Persatuan Mahasiswa Islam ini, maka tafsiran yang diterima ialah tafsiran yang diputuskan oleh Naib Canselor setelah Majlis Eksekutif berunding dengan Naib Canselor.
BAB 11 : PENGGANTUNGAN / PEMBUBARAN
1.0 Apabila mana-mana ahli Majlis Eksekutif atau Majlis Eksekutif atau Persatuan menjalankan secara yang difikirkan oleh Naib Canselor sebagai boleh merosakkan atau memudaratkan kesentosaan Universiti atau melanggar mana-¬mana Akta Universiti atau kaedah-kaedah atau peraturan-peraturan yang dibuat di bawahnya, maka Majlis boleh menggantung atau membuang mana-mana ahli Majlis Eksekutif atau Majlis Eksekutif atau menggantung atau membubarkan Persatuan ini.
2.0 Jika didapati bahawa:
2.1. Pergerakan yang dijalankan bukan untuk kepentingan ahli-ahli.
2.2. Persatuan telah:
2.2.1. Gagal mendapat dan mengekalkan keanggotaan yang dinyatakan di bawah syarat-syarat kelulusan penubuhannya, atau keanggotaan yang difikirkan oleh Majlis sebagai keanggotaan minima yang diperlukan.
2.2.2. Tidak begitu arif dalam memajukan tujuan atau kepentingannya.
2.2.3. Menyeleweng daripada tujuan atau kepentingannya yang telah ditentukan, atau
2.2.4. Melanggar atau bertanggungjawab atas atau menjadi pendorong dalam atau dengan apa-apa cara bantuan dalam perlangaran mana-mana peruntukan.
3.0 Majlis boleh membubarkan Persatuan ini sama ada dengan serta merta atau mulai suatu tarikh tertentu yang ditentukan oleh Majlis dan Persatuan hendaklah terbubar dengan sewajarnya.
3.1. Tidak ku-ang daripada satu pertiga (1/3) daripada bilangan Ahli Berdaftar Persatuan, boleh memberitahu Timbalan Naib Canselor (HEP) secara bertulis dengan satu salinan pemberitahuan itu kepada Setiausaha Agung bahawa mereka berkehendakkan mana-mana ahli Majlis Eksekutif atau Majlis Eksekutif dibubarkan daripada jawatan atau Persatuan dibubarkan.
3.2. Apabila diterima pemberitahuan di bawah BAB 11 perenggan kecil 3.1 Timbalan Naib Canselor (HEP) boleh selepas menjalankan penyiasatan yang difikirkan perlu, boleh memanggil satu Mesyuarat Agung Luarbiasa dengan memberi notis tidak kurang daripada 10 hari kepada ahli-ahli berdaftarnya; sama ada Persatuan dibubarkan atau Majlis Eksekutif atau mana-mana ahli Majlis Eksekutif digugurkan daripada jawatan.
3.3. Jika diputuskan dalam Mesyuarat Agung Luarbiasa tersebut supaya mana¬-mana ahli Majlis Eksekutif atau Majlis Eksekutif digugurkan, ahli Majlis Eksekutif atau Majlis Eksekutif yang baru dipilih serta merta dalam Mesyuarat Agung Luarbiasa.
3.4. Jika diputuskan dalam Mesyuarat Agung Luarbiasa tersebut supaya Persatuan ini dibubarkan, maka Persatuan itu terbubar dengan sewajarnya.
3.5. Timbalan Naib Canselor (HEP) hendaklah hadir dalam Mesyuarat Agung yang dipanggil oleh Majlis di bawah BAB 11 perenggan 3.4 dan mengawasi Mesyuarat Agung.
3.6. Jika Persatuan dibuburkan di bawah BAB 11 perenggan 3.4, Timbalan Naib Canselor (HEP) akan memberitahu Majlis mengenainya.
3.7. Persatuan hendaklah menurut dan mematuhi dengan sewajarnya peruntukan-peruntukan dalam Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971, Perlembagaan Universiti Teknologi Malaysia, Kaedah-kaedah Universiti Teknologi Malaysia; (Tatatertib Pelajar-pelajar) 1975, Statut Universiti Teknologi Malaysia; (Badan-badan Pelajar) 199... dan semua petunjuk, arahan atau kehendak yang sah yang diberi atau dibuat oleh majlis, atau oleh mana-mana pihak berkuasa Universiti atau oleh mana-mana pegawai atau pekerja Universiti yang diberi kuasa untuk memberi atau membuat petunjuk, arahan atau kehendak tersebut.
13 Jan, Skudai : Pertemuan tiga mata antara PMI, PRO-M dan MPP telah diadakan bagi membincangkan isu sekitar kampus. PMIUTM terpanggil untuk mengadakan pertemuan dengan beberapa orang pimpinan mahasiswa bagi merangka strategi demi kepentingan warga kampus.
Inisiatif untuk bertemu dan berbincang dengan MPP ini telah lama dirancang, namun Jadual Presiden, Saudara Amin yang terlalu padat membataskan PMIUTM untuk bertemu lebih awal dengan MPP. Presiden MPP, Saudara Abdul Hadi Bin Abdul Halim yang mesra dengan panggilan Hadi dengan hati terbuka menerima kunjungan hormat dari PMI dan PRO-M dan ditemani rakan seperjuangan beliau, Nadia.
PMI telah membuka perbincangan dengan membentangkan beberapa isu serta permasalahan yang berlaku di kalangan Mahasiswa. Pertemuan pertama kami kali ini merupakan percambahan idea dan perkongsian pandangan berhubung dua isu besar yang bersifat semasa iaitu isu berkaitan nilai mahasiswa hari ini dan juga perkembangan sekitar perjalan konvo kecil yang bakal berlangsung tidak lama lagi.
Tiga agenda besar telah di bawa sepanjang pertemuan singkat antara PMIUTM, PRO M dan MPP.
1) keruntuhan akhlak serta masalah sosial yang kian parah
2) lunturnya nilai kepimpinan mahasiswa
3) daya intelek mahasiswa terhakis
Apabila Menyentuh berkenaan akhlak dan masalah sosial di UTM, isu yang telah ditimbulkan oleh PMI dan ProM antaranya Permasalahan dedah aurat yang semakin menjadi-jadi dikalangan mahasiswa, isu bonceng sesama bukan mahram, kod etika pemakaian yang semakin diabaikan serta pelbagai lagi masalah akhlak dan moral masyarakat mahasiswa telah dibawa untuk dibincang bersama. Perbincangan tersebut dapat dijalankan dengan baik apabila kedua-dua pihak menyatakan pendirian yang sama berkenaan isu tersebut.
Unit Maklumat PRO-M UTM juga telah membekalkan Kertas Kerja Pesta Konvokesyen kali ke-42 sebagai bahan untuk dimuhasabahkan diperingkat pemimpin tertinggi pelajar. Seperti yang tertulis di atas Kertas Kerja konvo, Mohd Khairul Azizat Johari dari Kolej Tuanku Canselor, telah terpilih sebagai pengarah untuk memimpin perjalanan Pesta Konvo kali ini. Beliau telah merangka pelbagai strategi bagi memastikan Pesta Konvo kali ini meriah dengan pelbagai aktiviti menarik.
Namun, terdapat beberapa perkara yang dilihat tidak sesuai oleh PMI dari segi status keintelektualan mahasiswa itu sendiri berkenaan soal pengisian aktiviti konvo. Tercatat di muka surat 23 kertas kerja konvo,item 4.12, di sana dinyatakan perbelanjaan untuk Konsert Artis Tempatan adalah sejumlah RM 10,000 manakala hanya RM 1000 disediakan perbelanjaan ini untuk Forum Perdana. Bagi mereka yang bertuhankan ideologi sekularisme dan bermazhabkan budaya hedonisme, kritikan ini sedikit pun tidak memberi kesan buat mereka. PMIUTM berpandangan ianya mesti dikaji semula memandangkan falsafah disebalik konvo jauh berbeza dengan apa yang telah dirancang.
Ini kerana Konvokesyen diadakan adalah bertujuan untuk meraikan kecemerlangan akademik yang dimiliki oleh mahasiswa sama ada di peringkat diploma, ijazah sarjana muda mahupun ijazah kedoktoran. Konvo juga membuktikan UTM sebagai pusat ilmu yang telah mencetak bukan sekadar ilmuan malah pemimpin-pemimpin negara.
Justeru, penilitian dan penilaian semula kepada pengisian konvokesyen perlu dilaksanakan agar lebih relevan dengan situasi akademik dan nilai kemahasiswaan itu sendiri. Nilai hedonisme perlu dikurangkan untuk menjadikan konvokesyen yang akan datang sebagai tempat untuk menterjemahkan nilai keintelektualan Mahasiswa pada mata masyarakat umum yang datang sepanjang pesta konvokesyen berlangsung. Sekian. LPM PMIUTM.
Dato',
Pertamanya saya panjatkan setinggi kesyukuran padaNya kerana Dia masih bagi ruang pada insan sehina saya ini untuk berbicara dalam ruang yang terbatas ini dengan manusia sehebat Dato'.Peluang jarang datang selalu.
Sebenarnya ada beberapa perkara yang ingin saya lontarkan pada Dato' selaku kunci kepada pencetak 'pemimpin masa depan' yang mana rata2 lahir dari kalangan mahasiswa yang menuntut di IPT terutama UTM itu sendiri.
Mungkin pada hemat sesetengah mahasiswa memandang kampus hanya pentas untuk beradu minda bagi melayakkan nama masing-masing tersenarai sebagai perangkul pingat terbaik dalam bidang akademik.
Namun bagi saya, yang dididik dan di asuh supaya berjiwa negarawan bermindakan global melihat bahawa UTM atau kampus ini sewajarnya dijadikan tapak asas yang kukuh untuk mencetak ribuan pemimpin kualiti yang berkarisma dalam usaha untuk memastikan negara kita tidak ketandusan pelapis yang benar-benar menghayati erti kepimpinan yang sebenar.
Justeru, beberapa perkara ingin saya lontarkan pada Dato' untuk kita fikirkan bersama.
Pertamanya soal kepimpinan mahasiswa hari ini. Bermula sekecil-kecil organisasi diperingkat kolej, kelab dan persatuan yang digerakkan oleh mahasiswa itu sendiri hinggalah kepada platform Majlis perwakilan Mahasiswa yang terdiri daripada duta-duta mahasiswa yang sepatutnya memperjuangkan isu secara menyeluruh, pada pandangan saya mahasiswa masih gagal keluar dari kepompong minda local(kampus) dalam mempamerkan wajah kepimpinan sebenar mereka.
Timbul pelbagai blok-blok persoalan dalam pemikiran saya.
Apakah ini semua disebabkan kehadiran AUKU 1971yang menyebabkan potensi mahasiswa dari aspek kepimpinan dipenjarakan dan dibunuh sejak sekian lama??
Atau adakan ptokokol Yahudi yang menerapkan serangan pemikiran hedonisme ini yang telah melenyapkan jiwa2 muda yang seharusnya mampu bertindak di luar kotak pemikiran mereka?
Atau adakah system pendidikan yang digunapakai oleh pentadbiran yang telah menyebabkan jumudnya mahasiswa ini lebih daripada seketul batu?
Atau mungkinkah kemerosotan nilai akhlak dan moral dikalangan mahasiswa terutama Melayu Islam yang merupakan bala moden jangka masa panjang disebabkan menyisihkan Al-Quran selaku manual pembentukan jati diri seorang hamba pada Ilahi?
Atau apa sahaja faktor lagi yang telah membekukan mahasiswa daripada memikirkan persoalan kehidupan sebenar yang menanti mereka di luar sana. Pada mata masyarakat, mahasiswa kelompok agung yang disanjung tinggi, ikon bagi mereka terutama geografi penempatannya di kawasan pedalaman yang mengharapkan mahasiswa dapat menjadi agen perubahan kepada kehidupan mereka.
Namun apa yang saya amat bimbangi adalah, penilaian saya untuk memberi markah separuh pun rasanya belum cukup layak setelah melihat keupayaan memimpin dikalangan mahasiswa kita hari ini gagal mempamerkan suatu sinar baru sebagai memenuhi harapan diperingkat mahasiswa selaku rakyat dalan negara UTM itu sendiri.
Walau apa pun, sekadar pandangan ringkas dari saya untuk perkongsian kali ini adalah harapan yang menggunung di peringkat saya sendiri untuk melihat situasi Pilihan Raya Kampus (PRK) yang lebih terbuka, kebebasan menyampaikan suara melalui blog mahasiswa yang kini disekat dan sebagainya benar-benar menjadi wadah untuk kita mengangkat mereka yang selayaknya untuk memimpinbagi mengetengahkan pelbagai isu termasuk membincangkan dan mengupas isu nasional dan global bersama mahasiswa yang lain.
Oleh itu, besar harapan saya selaku mahasiswa yang bakal mengisi kelompangan tampok kepimpinan negara suatu hari nanti untuk melihat UTM melahirkan professional yang berkarisma serta berprinsipkan agama dalam memimpin masyarakat selaras dengan motto UTM itu sendiri “kerana Tuhan untuk Manusia”. Dan saya yakin dan percaya harapan Dato’ untuk melihat UTM sebagai research university hanya akan tercapai sekiranya kelompok mahasiswa juga bersama-sama memainkan peranan mereka dalam mengecapi impian Dato’ itu.
Akhir kalam, suka untuk mengambil tauladan daripada kata-kata Mantan Presiden Indonesia : “ Berikan aku 10 orang pemuda nescaya akan ku goncangkan dunia”.
"A GOOD TEACHER EDUCATES, A GREAT TEACHER INSPIRES"
Mohd Amin Bin Mohd Hamami
Presiden PMIUTM 09/10
Sarjana Muda Kejuruteraan Mekanikal Pembuatan
Fakulti Kejuruteraan Mekanikal
MOHD AMIN BIN MOHD HAMAMI
Presiden PMIUTM sesi 09/10
Fakulti Kejuruteraan Mekanikal
DAKWAH – short and simple six alphabets word, but presenting a tremendous and significant outcome.
Malah sedih untuk saya katakan, ada di kalangan aktivis dakwah (siapa makan cili dia terasa pedasnya) memandang sebelah mata apabila bertemu dengan perkataan DAKWAH ini di celah helaian artikel, majalah dan bahan ilmiah yang lain, seolah-olah segalanya berhubung dengan ilmu DAKWAH sudah kita hadam tanpa perlu ada sumber lain yang memberitahu kita apa itu erti dan tuntutan DAKWAH. Jelek lagi pelik.Tapi inilah realiti yang berlaku sehingga saat ini menyebabkan gerakan dakwah kita dibelenggu dengan kejumudan, malah dengan mendabik dada kita menafikan pandangan luar yang mengkritik bahawa gerakan dakwah masih dibawah tempurung tanpa lubang.
Analogi DAKWAH – Doktor pakar, penawar dan pesakit
Senario masyarakat Malaysia hari ini yang terpengaruh dengan mainan agensi Yahudi menyaksikan masyarakat yang bukan sahaja sakit malah tenat dibuai dengan arus hedonisme melampau dan tangan-tangan pemerintah yang mendidik masyarakat dengan kitab sekularisme. Penawarnya telah ada tersedia depan mata yakni DAKWAH. Cuma masalahnya sehingga kini, kita masih lagi kekurangan Doktor pakar yang dapat melakukan operation ke atas pesakit-pesakit ini dan memberikannya penawar supaya penyakit yang ada pada mereka sembuh. Yang ramai pada ketika ini hanyalah jururawat dan pembantu perubatan sahaja yang tidak arif untuk memberikan penawar bekenaan kepada pesakit.
Sakit ini apa jenis ubatnya? Berapa banyak dosnya? Bila masanya yang sesuai untuk penawar tersebut diberikan? Kalau terlebih atau terkurang, bagaimana??
Persoalan-persoalan ini seharusnya dibawa untuk duduk didiskusi bersama antara Doktor pakar dan juga jururawat. Natijahnya pasti positif. Sekalipun tidak semua jururawat yang akan menjadi Doktor pakar, tapi sekurang-kurangnya walaupun tanpa kehadiran Doktor pakar disisi jururawat, dia mampu dan yakin untuk menyuapkan ubat ke mulut pesakit. Simple kan. Tapi realitinya tidak sebegini. Masing-masing dengan kot seragam yang tersendiri. Susah untuk berdiri bersama-sama dalam satu barisan. Nanti nampak pelik pula katanya. Sifat sebegini harus dicampak jauh-jauh. Untung pun tidak, rugi berganda.
Sedikit sebanyak saya cuba untuk berkongsi situasi di atas dalam orbit sebenar dunia hari ini. Apa yang boleh saya katakan ialah kita masih lagi ketandusan ‘think tanker’ dakwah bukan sahaja diluar dari kampus, hatta di gedung ilmu ini sendiri tak ramai yang kita dapat lahirkan. Kalau ada pun tak ramai. Dan yang ada pun masih lagi tidak dapat untuk menyampaikan mesej kepada mahasiswa terutama aktivis dakwah itu sendiri untuk sama-sama kita melangkah ke suatu era baru. Yang mana persekitaran kita hari ini menagihkan ‘dakwah jenama baru’ tidak lagi kaedah lama yang sering digunapakai.
Pembaca kena faham dan jelas bahawa idea saya ini bukan untuk mengkritik dan menafikan dakwah yang ajarkan oleh Nabi Muhammad s.a.w yang tercinta kepada kita, kerana realitinya hari ini adalah yang tidak lagi relevan bukanlah isi dakwah itu, tapi approach dan pendekatannya. Kaedah dan metodologi dakwah pada zaman nabi, para sahabat serta gerakan-gerakan dakwah Islam yang wujud suatu ketika dahulu barangkali hanya sesuai dipasarkan era tersebut, dengan keadaan mad’unya yang sedemikian dan musuhnya yang sebegitu rupa. Tapi sebagai pelaku dakwah kita perlu sedar bahawa masa silih berganti, era berubah wajah, mad’u bersalin kulit dan musuh bertukar topeng, justeru dakwah harus didefinasi semula dalam konteks pendekatan dan cara bertindak supaya kita dapat bersaing dengan masa dan perubahan iklim semasa.
Selera Dakwah Masyarakat Hari Ini
Suka untuk saya kongsi bersama sedikit tulisan Presiden GAMIS, Ustaz Dzul Khairi Mohd Noor dalam satu tulisan beliau :-
“Gerakan dakwah berteraskan kebajikan perlu diwujudkan. Gerakan dakwah semata-mata dakwah tanpa menitikberatkan soal kebajikan tidak akan memberi makna yang besar. Sudah banyak kali gerakan dakwah tanpa selera kebajikan yang berkonsepkan edaran-edaran risalah, ceramah-ceramah dan nadwah-nadwah, turun ke surau dan sebagainya tidak memberikan impak yang besar terhadap gerakan dakwah itu sendiri. Namun, ia bertukar sebaliknya apabila gerakan dakwah mula mengambil kira soal kebajikan kerana lumrah manusia sukakan orang yang mengambil berat terhadap mereka.”
Di penghujung tulisan beliau, dengan agak yakin beliau menyatakan bahawa ramai yang akan merakamkan rasa tidak senang terhadap pandangan beliau lantaran wajah GAMIS selama ini dikenali dengan rupa siasah semata-mata. Tapi kita kena jelas bahawa sesiapa sahaja yang menggelar diri mereka pendokong ISLAM, maka peranan dakwah perlu digalas dengan baik.
Sekalipun mungkin ramai yang bertentang arah dengan pandangan ini, namun bagi saya ia merupakan trend baru dalam usaha kita ‘menjenama’ semula dakwah di mata masyarakat. Masyarakat yang tidak berjubahkan kehidupan Islam, akan lebih merasa senang dengan pendakwah yang menggunakan 'kunci' kebajikan sebagai pembuka pintu hati mereka. Mungkin inilah selera dakwah yang ditunggu-tunggu oleh masyarakat kita hari ini.
Sudah tiba masanya, doktor-doktor pakar mencari formula-formula terkini dalam menghasilkan ubat-ubatan mereka agar penawar tersebut mudah dihadam dan diterima oleh badan pesakit. Buat doktor-doktor pakar,ingat! Penyakit zaman sekarang dah makinpelik-pelik.
Kalam penutup bicara
Cuma ingatan buat diri saya dan aktivis dakwah yang lain, bahawa kita perlu melihat masyarakat sebagai mad’u dengan kaca mata dakwah dan bukannya pandangan Islah. Kerana sekiranya kita memandang masyarakat dengan pandangan Islah sudah pasti kita akan cepat menghukum orang Islam jahil yang tidak melaksanakan tuntutan agama. Tetapi andai kita melihat dengan kacamata dakwah, tentunya akan timbul perasaan simpati pada mereka yang jahil akan ilmu agama, dan usaha untuk membawa mereka kembali mencari sinar Ilahi akan menjadi mudah. Renung-renungkanlah.
Don’t just let the word DAKWAH move itself. We should drive it!
http://www.mindasiswa-reform.blogspot.com/
Akhbar hari ini menonjolkan PM Turki, Recip Tayyib Erdogan menjadi hero seketika bagi perjuangan umat Islam di Gaza. Saya cuba untuk tidak melihat gimik beliau yang mengejutkan dunia dan pentas Forum ekonomi Dunia itu dengan tafsiran yang simplistik.Siapa tidak kenal Erdogan, Gul dan latar belakang AKP serta anak didik intelek nombor satu dunia, Fethullah Gulen ini dalam seni berpolitik dan pencak silat meletakkan prioriti perjuangan Islam mereka di celahan kekaratan pemikiran sekular rakyat Turki.
Saya berkira-kira tindakan Erdogan yang berang selepas penulis Washington Post yang mempengerusikan majlis, David Ignatius, hanya memberinya 12 minit untuk berucap sedangkan Peres, 85, lantang berhujah selama 25 minit mempunyai motif dan strategi terancang beliau yang tersendiri, mungkin selepas speechwriter Erdogan mengkaji kelemahan ucapan Peres dan pendekatan emosinya setiap kali beliau memberikan ucapan. Persis seperti bagaimana speechwriter Obama mengkaji kelemahan Mc Cain bila berdebat dan berhujah sehingga akhirnya Obama yang sentiasa menang dalam Presidential Debate.
Erdogan secara luaran mungkin dilihat sekadar membantah prosedur forum yang tidak seimbang penghujahan pro dan kontra dari kedua-dua belah pihak. Erdogan secara luaran mungkin dilihat sebagai anak muda yang mahu menegur orang tua supaya dalam berforum tidak seperti berdebat, tidak perlu meninggikan suara dan menuding jari kepada panelis lain(maklumlah, penulis ada pengalaman berforum di peringkat kebangsaan semasa di KISAS dahulu). Erdogan secara luaran mungkin juga dilihat mahu menunjukkan 'haibah' dan prestij negaranya apabila menyebut : "This was a matter of the esteem and prestige of my country. Our people would have expected the same reaction from any Turkish prime minister. My reaction had to be clear. I could not have allowed anyone to poison the prestige and in particular the honor of my country." Siapa yang tidak mahu berada di belakang PM mereka apabila PM mereka memainkan sentimen prestij dan kredibiliti negara cuba dimalukan oleh negara lain. Erdogan secara tidak langsung telah memenangi semula hati rakyat Turki - melalui 'peluru' sentimen nasionalisme - dengan menonjolkan wibawa negaranya di hadapan perwakilan pakar-pakar ekonomi dunia.
Erdogan vs Peres
Namun hakikatnya secara dalaman, ada motif lain yang turut dipelurukan secara dramatik oleh Erdogan. 1 peluru yang telah membunuh 2 musuh sekaligus, Israel dan parti-parti pembangkang di Turki (menjelang PRU Turki ke 17).
Beliau oportunis untuk memanfaat ruang tumpuan media seluruh dunia tersebut untuk menunjukkan peranan belakang tabir yang selama ini beliau mainkan untuk menyelamatkan Gaza. Erdogan mahu menyatakan sokongan psikologi AKP Parti Pemerintah dan rakyat Muslim Turki kepada perjuangan umat Islam di Gaza. Muslimin dan kerajaan HAMAS di Gaza mungkin terasa kesepian dan keseorangan tanpa solidariti negara Arab untuk berdepan dengan Israel.
Erdogan - dengan segala keupayaan inteleknya membahas isu-isu ekonomi global sehingga kekuatannya mendapat pengiktirafan dan jemputan ke Forum Ekonomi Dunia - akhirnya tampil mengambil kesempatan untuk menampakkan pada dunia buruk dan jijiknya kebinatangan Israel.Lantas, semua stunt politiknya itu ("modul" dalam bahasa tempat saya kerja :-) dirancang rapi kenyataan dan aksinya supaya tidak perlu sampai ke tahap "menang sorak, kampung tergadai." Jangan sampai menggadaikan kedudukan partinya di mata EU yang Pro-Israel serta kedudukannya sebagai Perdana Menteri yang hampir goyah apabila 2-3 bulan lepas AKP mendapat 'kad kuning' dari Mahkamah Perlembagaan Turki atas isu "Islamis" nya AKP. Andaikata Erdogan terlalu menjahar dan meraung terlalu kuat sokongan dan ratapannya pada nasib Gaza di pentas WEF itu, boleh jadi tentera - yang semenangnya menunggu masa untuk menguburkan AKP - menanti untuk menggulingkannya apabila tiba di Turki.

Namun sebaliknya, Erdogan dijulang apabila pulang ke Turki sebagai wira nasionalisme Turki, bahkan bendera Turki yang jarang berkibar dengan bendera negara lain kali ini boleh dikibarkan rakyatnya bersama bendera Palestin. Pada masa yang sama dunia Islam semakin nampak Turki antara negara paling berpotensi di masa depan membela Palestin selepas Qatar, negara Shekh Qaradhawi buat pertama kali memecahkan tradisi taasub, nasionalisme materialistik dan kelesuan Liga Arab, menyatakan pendirian terbuka menyokong perjuangan HAMAS dalam membela rakyatnya di Gaza.
Saya masih teringat DS Anwar Ibrahim pernah menyebut selepas bertemu Perdana Menteri Recep Tayyip Erdogan pada awal Januari 2009 baru-baru ini. Beliau menyatakan Erdogan merupakan satu-satunya tokoh negara Islam yang mengambil inisiatif berunding dengan pimpinan Hamas, Syria, Arab Saudi, Iran, beberapa negara Eropah dan Russia. Erdogan, Presiden Abdullah Gul dan penasihat luar Ahmad Davutoglu hampir melepaskan semua tugas lain dan hanya tertumpu kepada isu Ghazza.Kesimpulannya, tindakan Erdogan boikot forum itu dilihat mungkin dilihat tidak menyelesaikan masalah akar umbi konflik Palestin-Israel dan usaha damai yang cuba dimainkan oleh orang tengah seperti Turki sendiri. Namun, tindakan kecil itu sekurang-kurangnya telah membunuh karakter Israel dan memalukan mereka di persada antarabangsa kalaupun Erdogan tidak mampu mengerahkan tenteranya menyelamatkan Gaza dan membunuh tentera Israel.
Itulah politik "tipping point". You just only to make little change but it make a big difference and highly impact. Mohd Sayuti Omar dalam blognya pula menyifatkan tindakan Erdogan lebih hebat dan berkesan daripada bom fosfour yang dilontarkan Israel ke Gaza yang membunuh lebih 1,300 nyawa itu. Pantaslah kalau ribuan rakyat Turki menyambut kepulangan Erdogan yang dianggap sebagai wira. Dunia lain juga patut puji keberanian dan ketegasan Erdogan.
Selepas Muntazar melakukan "modul" tipping point berani matinya pada Bush, kini giliran pemimpin tertinggi Israel pula perlu menerima malu. Dan kali ini bukan giliran wartawan untuk membaling kasut, tetapi seorang negarawan membaling hujah. Bila pula giliran pemimpin besar Malaysia mahu melakukannya ? Mampukah Erdogan menenggelamkan populariti Obama sebagai pemimpin perubahan dan keamanan dunia tidak lama lagi ?
Ya Allah, hancurkan pengganas Amerika dan Israel.
Muhd Syaari Ab Rahman
Setiausaha Agong GAMIS 2007/2009
sumber: http://rijal82.blogspot.com














