Dakwah dan tarbiah adalah dua perkara yang sangat penting dalam Islam. Adanya dakwah tanpa tarbiah ibarat binaan yang tidak sempurna. Ajak, panggil dan seru tidak memadai kerana ia hanya mencetuskan sesuatu dalam minda dan rasa tentang suatu faktor perubahan diri dan perbezaan memahami.Pendidikan selepas itu adalah amat penting kerana tanpa ilmu tidak mungkin kefahaman dan pemikiran Islam dapat berkembang. Itulah kesan utama yang aku lalui apabila sistem dakwah dan tarbiah memberikan jalur baru dalam hidupku.
Apabila aku mendaftarkan diri sebagai “mahasitua” pada tahun 1976, satu gelaran yang diberikan kepada orang berumur memasuki universiti, ada semacam keasingan budaya dan cara hidup yang memerlukan penjernihan. Ragging pada minggu awal Haluan Siswa banyak yang bercanggah dengan nilai-nilai murni, apa lagi Islam. Corak pergaulan dan cara berpakaian agak mencolok mata dan jenis kegiatan para pelajar dan organisasi tidak memberikan gambaran jelas tentang arah tujunya. Lebih menyilaukan mata bagaimana pada malam minggu ramai para pelajar menghabiskan masa berdua-duaan di “green” atau padang kampus sehingga pagi.
Azam dan tekad kami di kampus Universiti Malaya ingin mengubah semua suasana ini, dengan izin-Nya.
Memang banyak cabaran yang ditempuh untuk melakukan kerja-kerja dakwah di kampus. Tidak semua program yang dirancang dibenarkan. Bagi kami ianya perkara biasa. Setiap usaha yang baik mesti ada kepayahan, halangan dan pengorbanan. Tetapi ia tidak pernah memberi rasa putus asa kepada kami penggerak-penggerak dakwah di kampus.
Sedikit ilmu dan pengalaman yang aku terima hasil dakwah dan tarbiah ABIM (Angkatan Belia Islam Malaysia) menjadi fokus terhadap usaha memakmurkan Islam di kampus Universiti Malaya. Dakwah yang terbuka dan tarbiah yang mempunyai hala tuju adalah penting bagi generasi muda berilmu yang bakal meneruskan perjuangan memperkasa umat Melayu apa lagi di saat cabaran pembangunan dan perubahan sedang berlangsung.
Mereka yang Gigih dalam PMIUM
Aku mendekati adik-adik yang gigih dalam Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Malaya (PMIUM) untuk membantu kerja-kerja dakwah. Aku menghubungkan diri dengan rakan-rakan dari Persatuan Bahasa Melayu Universiti Malaya (PBMUM) supaya gerak kerjanya berasaskan Islam. Aku juga melibatkan diri sebagai anggota Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Universiti Malaya supaya organisasi induk dapat diterajui oleh orang yang mempunyai fikrah dalam perjuangan pelajar.
PMIUM mempunyai program khas pada setiap hujung minggu dan juga penggal. Fokus utama kami ialah terhadap pelajar-pelajar di Pusat Asasi Sains, iaitu program khas universiti untuk menjadikan mereka doktor, jurutera dan saintis. Pada setiap cuti penggal aku bersama dengan teman-teman Cikgu Halim Ismail, Ab. Ghani Ishak, Syed Dawillah, Kamaroniah, Esah hasan dan ramai lagi kepimpinan PMIUM mendidik adik-adik mengenai Islam dan pentingnya Islam dalam proses pembangunan dan kemajuan.
Kolej Kelima Universiti Malaya menjadi kolej yang mana tarbiah ini berjalan selama seminggu. Penceramah-penceramah yang berwibawa dari luar kami bawa untuk menjelaskan Islam itu sebagai suatu sistem kepercayaan dan cara hidup. Para peserta yang hadir kita dekati dengan perasaan kasih sayang dan belas kasihan. Mereka adalah anak-anak yang berpotensi tetapi pemahaman terhadap Islam amat terbatas.“Saya tidak tahu sembahyang...”
Pernah waktu di surau seorang pelajar yang telah insaf mendekatiku, “Saya tidak tahu sembahyang cikgu. Ayah dan ibu juga tidak sembahyang.”
“Saya tidak tahu mandi hadas besar. Ayah saya orang berada. Tolong cikgu ajarkan saya.” Aku lihat wajahnya dengan belas kasihan yang tinggi. Apakah ini juga gambaran yang ada pada pelajar-pelajar yang lain? Ceramah yang diberi oleh para penceramah merangkumi solat, fardu ain, pemikiran, fardu kifayah dan cara hidup Islam. Ianya semacam memberi kesan kepada pelajar.
“Insya-Allah cikgu akan ajarkan,” jawabku ringkas. Pelajar pra-perubatan ini pada hemat saya amat berpotensi menjadi seorang yang amat penting pada masa depan. Bayangkan kalau kefahaman agamanya dangkal, apakah yang akan berlaku kepada umat Islam pada masa depan? Inilah titik tolak perjuangan kami di kampus yang ingin menyedarkan para pelajar Melayu supaya menjadikan Islam sebagai sumber ilmu dan cara hidup.
Pada suatu sesi Latihan Kepimpinan Islam Universiti Malaya (LAKIUM), aku didekati seorang lagi pelajar menyatakan bagaimana sikap ibu bapanya yang menentang aliran dakwah yang sedang berkembang. Kata ayahnya, “Di universiti kerja kamu belajar. Jangan terlibat dengan dakwah. Nanti kamu akan jadi orang ekstrem.”
“Mengikuti dakwah adalah perkara penting. Tanpa dakwah, kesedaran Islam tidak akan ada. Mengikuti latihan perkaderan juga penting. Darinya kita dapat ilmu. Tanpa ilmu kita tidak boleh menjadi orang Islam yang baik. Dalam Islam ia mengajar kita supaya bersederhana supaya kegiatan dakwah berkembang. Orang yang ekstrem dalam dakwah tidak memilih jalan bijaksana. Bayangkan kita maju dalam bidang profesional dan dalam masa yang sama ilmu dan akhlak Islam kita baik, sudah tentu kita akan tahu amanah kita terhadap umat Islam dan umat manusia.”
Penjelasanku itu diterimanya dengan baik. Memang itulah asas pendekatan PMIUM kepada para pelajar di kampus supaya mereka mempunyai wibawa diri yang tinggi.
“Saya telah terangkan kepadanya tetapi ayah tidak mahu menerima. Dia mendapat pendidikan Barat. Cara hidup kami di rumah pun cara Barat,” jelasnya lagi.
“Yang penting pelajaran di universiti jangan diabaikan. Nilai tambahnya ialah keinsafan dan kesedaran Islam mesti ditingkatkan. Hormat terhadap ibu bapa perlu tinggi. Adab sopan kepada mereka perlu ada. Lambat laun ayah dan ibu akan restui jalan yang kamu pilih ini.” Pelajar ini mengangguk-angguk tanda faham apa yang aku sampaikan.
Pada setiap hujung minggu kami mulakan ceramah agama di tempat makan asrama. Sambutan bagi LAKIUM dan ceramah amat baik. Usrah di kalangan pelajar dimulakan. Kami mulakan solat berjemaah di setiap kolej dengan memohon pengetua kolej memberikan ruang solat kepada pelajar-pelajar.
Perubahan di Kampus
Akibat kegiatan ini sebahagian pelajar mula berubah. Pelajar-pelajar wanita mula memakai skaf dan tudung. Di kampus dan di kuliah disemarakkan memberi salam. Ada suasana perubahan di kampus.
Seperti biasa, ada yang setuju dan ada juga yang sinis terhadap perubahan ini. Kami terus istiqamah terhadap pelbagai tanggapan yang ada dan kami yakin bahawa lambat laun cita-cita kami yang baik itu akan difahami oleh masyarakat kampus.
Ternyata ianya benar. Kecenderungan para pelajar mengikuti LAKIUM semakin bertambah di kalangan semua fakulti. Di Fakulti Sains umpanya sudah menubuhkan Persatuan Pelajar Islamnya. Hampir semua kolej sudah ada surau atau musala. Azan dilaungkan setiap kali waktu solat tiba. Kumpulan-kumpulan usrah semakin berkembang. Buku-buku Islam semakin banyak dibaca oleh para pelajar. Dalam siri debat dan forum, isu-isu Islam dibangkitkan. Malah dalam Debat Isu Semasa di Dewan Tuanku Naib Canselor, pendekatan Islam menjadi isu yang popular. Kalau suatu ketika sekitar awal 70-an isu-isu yang dibauri faham sosialis mendapat tempat tetapi di akhir tahun-tahun 70-an dan 80-an isu-isu Islam ghairah diperkatakan.
Universiti Malaya sebagai universiti tertua di Malaysia sering menjadi rujukan universiti lain dalam kegiatan kemahasiswaan. Ternyata apa yang berlaku itu memberi kesan kepada universiti-universiti yang berdekatan seperti Universiti Kebangsaan Malaysia, Universiti Teknologi Malaysia dan juga Universiti Pertanian Malaysia.
Tekad kami adalah jelas. Kemerdekaan yang diterima harus diberi makna. Memperkasa umat Melayu tanpa Islam bererti mengekalkan pendewaan orang Melayu terhadap Barat. Tetapi proses “pembaratan” perlu diteliti. Bimbang penjajahan pemikiran dan budaya menjadi lebih bahaya lagi. Oleh itu pembebasan akliah generasi muda perlu berlaku.
Sebagai pelajar Islam, Islam tidak hanya dipelajari secara fardu ain tetapi cabaran masa lalu, masa kini dan masa depan ialah cabaran pemikiran, intelektual dan antara tamadun. Sekiranya Islam tidak dicernakan sebagai “cara hidup”, ia bakal terpinggir sebagai agama warisan dan akhirnya kekosongan akliah dan rohaniah para pelajar akan diisi dengan sesuatu yang asing daripada agama dan tradisi ketamadunannya.
Hikmah di Sebalik Kisah
Sekitar tahun 70-an kebangkitan Islam yang digerakkan oleh ABIM dan jemaah dakwah yang lain tidak saja memberi kesan kepada masyarakat Malaysia tetapi juga di kampus-kampus. Oleh kerana pusat kegiatan dakwah banyak berlaku di ibu negara Kuala Lumpur, maka kampus-kampus universiti tidak terlepas daripada sasarannya.
Para mahasiswa adalah penting dijadikan sasaran dakwah kerana mereka adalah generasi penerus kepimpinan negara dan bakal menguasai keahlian dan kepakaran dalam pelbagai bidang. Sekiranya fikrah Islamiah dapat dibina di kalangan mereka, kepimpinan generasi hari depan adalah diharapkan lebih baik dari masa yang lalu.
Hal ini penting kerana Islam adalah suatu agama tamadun. Tamadun Abbasiah yang berpusat di Baghdad dan juga tamadun Andalusia telah menjadikan umat Islam sebagai umat yang hebat selama lebih enam abad. Barat terhutang ilmu terhadap tamadun itu dan akhirnya terhutang ilmu kepada tamadun tidak saja dalam bidang falsafah tetapi juga dalam bidang sains dan teknologi.
Oleh itu, dakwah dan tarbiah Islamiah memerlukan arah yang jelas bukan saja dalam syarah dan khutbah tetapi juga menuntut keupayaan tenaga umat untuk menterjemahkan Islam ke dalam sistem supaya Islam tidak hanya dibatasi oleh ajaran fardu ain yang terbatas sifatnya tetapi harus dikembangkan sebagai asas pemikiran yang boleh membawa perubahan kepada tamadun. Inilah suatu permulaan baik yang dilakukan oleh PMIUM dan kesannya masih subur hingga ke hari ini.
Sumber: SOLUSI Isu No.12
Penulis: Prof. Dr. Sidek Baba
Lulusan Ijazah Sarjana Muda (Pengajian Melayu) dan Sarjana Pendidikan Berbanding di Universiti Indiana, Bloomington, USA dan Ijazah Doktor Pendidikan di Universiti Northern Illinois, USA. Pernah menjadi pendidik, pegawai dan pensyarah, dan kini sebagai Profesor Pendidikan di Institut Pendidikan, UIAM. Beliau dianugerahkan Tokoh Maal Hijrah 2009.



0 comments