October 1, 2009

Gempa Bumi Kembali di Indonesia


Bencana alam yang berlaku kerap kali di Indonesia berulang lagi. Ketika artikel ini ditulis, angka korban telah meningkat kepada 200 orang. Manakala 118 maut akibat tsunami di Samoa. Perkara-perkara ini tidak berlaku begitu sahaja, bagi mereka yang sedar, inilah peringatan daripada Allah bahawa kiamat sudah dekat dan maut boleh menjemput kita bila-bila masa sahaja. Namun bagi mereka yang lalai dan terus lalai, keadaan ini mungkin sekadar bencana alam biasa buat mereka. Pilihlah di golongan mana anda ingin berada, masa semakin suntuk...sekadar tazkirah ringkas daripada PMIUTM. Selamat kembali berjuang!

Sumber : Berita Harian

75 dilaporkan maut akibat gempa bumi di Sumatera

PADANG: Gempa bumi magnitud 7.6 yang melanda Sumatera Barat sekitar jam 5:16 petang waktu Indonesia Barat semalam mengakibatkan beberapa bangunan utama di Padang mengalami kerosakan teruk, seperti Rumah Sakit Umum Pusat M Jamil Padang, Rumah Sakit Selasih dan Hotel Rocky.

Beberapa lagi bangunan seperti bangunan lembaga pendidikan LBA-LIA, bangunan Sekolah Tinggi Kesihatan (Stikes) Indonesia dan Hotel Ambacang, roboh, dan juga beratus-ratus kedai yang terletak di beberapa jalan utama kota Padang, seperti di Jalan Sawahan, Pemuda, Veteran dan beberapa tempat lain.

Akibat gempa itu juga, sebahagian pasar raya, pasar utama di pusat bandar Padang, juga terbakar.

Kebakaran juga tercetus di gedung beli belah Matahari. "Sebahagian kaunter makanan di gedung beli belah itu hangus terbakar," kata Jeki, seorang penduduk yang kebetulan menyaksikan kebakaran berkenaan.

Kota Padang diselubungi kegelapan malam tadi berikutan terputusnya bekalan elektrik. Hujan lebat yang turun pada malam hari memeritkan keadaan penduduk yang masih dalam keadaan terperanjat berikutan gempa bumi berkenaan.

Semua saluran komunikasi terputus, kecuali yang dikendalikan oleh dua operator GSM saja yang aktif, itupun sangat susah untuk dihubungi kecuali melalui sistem pesanan ringkas.

Jumlah korban gempa bumi berkenaan dijangka terus meningkat berikutan beribu-ribu dikhuatiri terhimpit dalam runtuhan bangunan.

Setakat jam 10 malam waktu Indonesia Barat semalam, seramai 75 orang dilaporkan terkorban dalam gempa itu yang gegarannya turut dirasai di beberapa negara serantau, termasuk Malaysia dan Singapura.

Naib Presiden Indonesia, Jusuf Kalla memberitahu sidang akhbar di Jakarta semalam, jumlah korban kemungkinan besar akan meningkat berikutan banyak bangunan, termasuk hotel, sekolah dan kedai roboh dalam bencana alam itu.

"Maklumat setakat ini menyatakan ramai yang mungkin terperangkap di Padang," kata ketua pusat pengurusan krisis jabatan kesihatan, Rustam Pakaya.

Beliau berkata pihaknya sedang menyediakan hospital lapangan di lokasi kejadian bagi memberi rawatan kepada yang cedera dalam kejadian itu.

"Pasukan kesihatan dan pasukan pengurusan krisis dari Medan dan Palembang sudah dikerahkan ke Padang dengan membawa ubat," jelasnya.

Lapangan terbang di Padang yang pada awal kejadian ditutup dibuka semula pada jam 9.45 malam tadi dengan pesawat dari Jakarta dilaporkan antara terawal mendarat.

Pesawat berkenaan membawa bantuan untuk mangsa gempa bumi itu. - Agensi

0 ulasan: