Ramadhan Platform Tranformasi Diri

Posted by Persatuan Mahasiswa Islam UTM Friday, September 4, 2009

Sedar tak sedar, Ramadhan kini masuk fasa pertengahan. Dalam fasa ini, Allah S.W.T. menjanjikan pengampunan sebagaimana dalam sabda Rasulullah S.A.W. yang mengatakan bahawa awal Ramadhan adalah rahmat, pertengahannya adalah pengampunan dan di akhirnya adalah pembebasan daripada api neraka. Apabila kita muhasabah kembali amalan-amalan yang telah dilakukan dari permulaan Ramadhan sehingga ke hari ini, cukupkah amalan-amalan itu untuk kita melayakkan diri mendapat pengampunan Allah? Sama-sama kita renungkan…

Kebiasaannya, apabila tiba bulan Ramadhan, sana sini kita mendengar cerita-cerita tentang Ramadhan. Daripada bab fekahnya, kelebihannya, keutamaannya dan sebagainya. Di bulan ini juga, rugilah kita andaikata tidak mengambil peluang yang dibuka seluas-luasnya untuk mempertingkat amal ibadah. Sebagai seorang insan, menjadi fitrah iman kita tidak selalunya berada di puncak. Seperti roda, iman juga ada turun naiknya. Di saat iman berada di puncak, kitalah orang yang paling berusaha menjaga ibadah. Tetapi, bagaimana keadaan kita di saat iman merudum?

Oleh itu, di bulan yang penuh barakah ini, inilah saatnya kita sedaya upaya meningkatkan momentum usaha kita untuk meraih kenikmatan dalam beribadah. Sudah menjadi lumrah, untuk mendapat yang terbaik, jalannya bukanlah mudah. Begitu jugalah dengan perkara ini. Maka, di peringkat permulaan, paksalah diri untuk membiasakan melakukan ibadah dengan sebaiknya. Daripada paksaan, lama-kelamaan secara automatiknya kita akan terbiasa dengan rutin tersebut. Insya-Allah di sinilah kita mencapai tahap istiqamah.

Di bulan Ramadhan ini juga, inilah waktunya untuk kita meningkatkan mujahadah melawan hawa nafsu. Di kala syaitan dibelenggu, jangan kita lupa pada hawa nafsu yang sentiasa cuba mengalahkan manusia. Puasa bukan sahaja mengingatkan kita tentang kesusahan yang dialami fakir miskin, tetapi juga melatih kita melenturkan hawa nafsu dan menjadikan kita insan bertaqwa. Memang tidak dinafikan, nafsu sentiasa menginginkan yang indah-indah belaka tanpa mengira halal haramnya. Justeru itu, latihlah diri untuk mengawal nafsu. Dalam hal ini, beri tekanan kepada nafsu dengan cara berkata tidak pada hawa nafsu yang mendorong ke arah keburukan. Dengan ini, secara langsung kita mengajar nafsu agar mengikut kehendak akal, bukan akal yang mengikut kehendak nafsu.

Oleh yang demikian, untuk mendapat yang terbaik bukanlah perkara yang mudah. Banyak yang perlu diusahakan. Namun, sampai bila kita perlu terus berada di takuk lama andai kita tidak berusaha mencapai yang terbaik? Justeru, jadikanlah Ramadhan kali ini sebagai medan untuk kita transformasikan diri daripada sekadar seorang muslim kepada mukmin dan daripada seorang mukmin kepada mukmin yang muttaqin. Sama-sama kita manfaatkan bulan pesta ibadah ini dan pasakkan di minda andai ini Ramadhan terakhir buat kita.

OLEH: ASMAH ANDY (FS)

0 comments

PMIUTMedia

Facebook PMIUTM

Download Seruan Jumaat

(Seruan Jumaat ini adalah terbitan semester lepas, untuk download Seruan Jumaat semester ini bakal menyusul sedikit masa lagi. Kepada mereka yang berminat untuk menghantar artikel, bacaan menarik atau cadangan dan komen boleh menghubungi 013-7930998.)

Pengunjung