Malaysia kian lekang dengan traumatis ‘Islamofobia’

Posted by Persatuan Mahasiswa Islam UTM Wednesday, September 16, 2009

Malaysia kian lekang dengan traumatis ‘Islamofobia’

Secara jujurnya saya masih lagi belum sempat menyudahkan pembacaan saya ke atas buku yang berjudul ‘Wajah Baru Politik Malaysia’ hasil kupasan pandangan Dr. Mujahid Yusof Rawa berkenaan perlunya negara berbilang etnik seperti di Malaysia meraikan ‘perayaan demokrasi’ dalam membentuk semula ketamadunan manusia menjernihkan singkapan tafsiran semula terhadap ‘politik nilai’. Dalam menyusun akal untuk menghurai sentuhan idea daripada beliau, saya agak merangkak-rangkak untuk meramal plot idea berikutnya. Namun tulisan saya kali ini bukan sahaja untuk kita bicara soal strategi politik dalam mengaut minda rakyat, namun jauh yang lebih mendalam perlu kita tenung adalah soal kapasiti dakwah kotemporari hari ini.

Tema cerita yang berkisar sejarah hitam bukan suatu perkara mudah untuk dilupakan. Apatah lagi untuk kita hilangkan dari jalur masa yang telah berlalu. Islamofobia adalah istilah kontroversi yang merujuk kepada prasangka dan diskriminasi pada Islam dan Muslim. Bisa istilah itu sendiri sudah digunakan pada tahun 1980-an tetapi menjadi popular selepas tragedi serangan 11 September 2001.

Pada tahun 1997, Badan Amanah Runnymede mentakrifkan Islamofobia sebagai "rasa takut dan benci terhadap Islam lalu membawa kepada takut dan tidak suka kepada orang Islam," juga menyatakan ia juga merujuk kepada amalan mendiskriminasikan orang Islam dengan mengasingkan mereka dari kegiatan ekonomi, sosial dan kehidupan masyarakat. Islamofobia juga termasuk persepsi bahawa Islam mempunyai nilai yang tidak sama dengan budaya lain, lebih rendah dari nilai barat dan mempunyai ideologi politik yang ganas daripada (dikenali) sebagai satu agama.

Trauma inilah yang membengkam rasa benci ketara kelompok bukan Islam ke atas umat Islam sedunia. Sifat waspada yang menebal di hati mereka menyebabkan sehingga timbul tembok pemisah besar yang sukar dipecahkan sekalipun dengan nada perpaduan. Dimensi ini menjadi parah apabila ada yang cuba mengaitkannya dengan kehadiran orang Islam yang meningkat di negara barat. Pada bulan Mei 2002, European Monitoring Centre on Racism and Xenophobia (EUMC), satu pertubuhan pemantau Kesatuan Eropah, mengeluarkan laporan bertajuk "Summary report on Islamophobia in the EU after 11 September 2001" (Ringkasan laporan mengenai Islamofobia di Kesatuan Eropah selepas 11 September 2001), yang cuba menggambarkan kerisauan serta kebimbangan yang melanda masyarakat non-muslim Eropah ketika itu terhadap Islamofobia. Sehinggakan dalam satu forum pada tahun 2001, "Stockholm International Forum on Combating Intolerance", mengisytiharkan satu deklarasi yang antara lainnya meletakkan islamofobia sebagai sesuatu yang melanggar nilai-nilai asas manusia: [8]


Rasisme, diskriminasi kaum, antisematisme, islamofobia, xenofobia, diskriminasi, keganasan dan pembunuhan kerana orientasi seks, dan apa jua bentuk sikap tidak toleransi, melanggar nilai-nilai asas manusia dan mengancam kebebasan masyarakat.

Begitulah trajisnya suatu bentuk doktrinisasi halus yang melahirkan suatu bentuk penafian yang nyata tearhadap Islam yang murni ini.

Namun, saya ingin mengajak pembaca untuk murnikan semula pandangan kita terhadap landskap negara semasa. Apabila kita berhenti seketika menyelak suasana hingar politik negara kita, ia sama sekali memberi jawapan baru terhadap soalan yang lama. Islamofibia semakin dilihat tidak releven, malah pasca Pilihan Raya Umum 2008 yang lalu membukukan kepada kita suasana yang agak ajaib dan luar biasa terhadap Tamadun Malaysia. Islam bukan lagi menjadi bahan bualan dan perbincangan di kalangan non-muslim, malah Islam menjadi tempat mereka bersandar meletakkan rasa percaya. Aneh bin ajaib. Tetapi begitulah ‘pemandangan indah’ yang mampu kita lihat pada hari ini yang mungkin suatu ketika ia akan menjadi pemandangan yang kekal.

Trailer Dakwah dalam Cerita Siasah

Saya turu rasa gembira apabila berita tentang Tahalluf Siasi ini juga menenangkan ramai aktivis dakwah muda. Bentuk promosi murni ini meyakinkan banyak pihak. Ini kerana sifatnya yang dinotakan sebagai basshiru wa la tunaffiru, yassiru wa la tu’assiru iaitu konsep supaya membawa kehampiran bukan kejauhan, dan permudahkan jangan menyusahkan sebenarnya membuka jalur dakwah yang begitu luas pada hari ini.

Ketepikan sebentar elemen politik yang tiada penghujungnya dalam berbahas. Buka sebentar pintu minda kita melihat peluang dakwah yang terhampar di hadapan mata. Apakah kita masih lagi mahu beralasan untuk menjauhkan diri dengan mereka yang dahagakan kasih sayang Islam? Dan persoalan yang masih membenak difikiran saya ialah, mengapa masih ramai lagi org Islam yang cuba menghalang hidayah allah sampai kepada mereka. Bukankah kelak di akhirat kita akan dipersoalkan?

Mohd Amin Bin Mohd Hamami
Fakulti Kejuruteraan Mekanikal
Presiden PMI UTM 2009

0 comments

PMIUTMedia

Facebook PMIUTM

Download Seruan Jumaat

(Seruan Jumaat ini adalah terbitan semester lepas, untuk download Seruan Jumaat semester ini bakal menyusul sedikit masa lagi. Kepada mereka yang berminat untuk menghantar artikel, bacaan menarik atau cadangan dan komen boleh menghubungi 013-7930998.)

Pengunjung