4.00 ptg – Terdetik di hati saya untuk singgah di blog sahabat-sahabat hari ini. Mungkin ada informasi terkini yang mahu dikongsi bersama. Saat itu dibahagian bloglist blog saya ada posting terkini dari seorang pemimpin mahasiswa, Majlis Perwakilan Pelajar, Hasunah namanya (http://sunahmohammad.blogspot.com). Jadi saya terus klik untuk tahu perkembangan semasa.
Jalan-Jalan Bersama NC UTM-Tajuk pada posting terkini diblognya. Tarikh program adalah pada hari ini. Terus saya melihat pada jam tangan. Ada 45 minit lagi. Persoalan mula bermain diminda. Perlu atau tidak untuk saya bersama petang ini. Konklusi secara segera saya buat.Jawapannya, ada baiknya saya sertai.
5.15ptg- Sebaik sahaja solat asar saya bergegas ke bahagian foyer blog pentadbiran, tempat seperti yang ternyata dalam iklan. Namun mungkin ikrar saya pada masa telah saya cemari, maka kami ketinggalan. Apa pun bagi saya, terlepas peluang pertama tidak semestinya sudah tidak berpeluang.
Kereta Azam meluncur laju untuk melihat disekitar SUB. Harapan kali kedua juga agak mengecewakan. Namun ianya bukanlah pemusnah segala harapan. Kami cuba untuk melihat sekitar kawasan KTC. Hemat kami tepat. Seangkatan manusia dalam barisan yang agak sederhana panjang sedang menuju ke KTC,S40. Kami terus mendapatkan rombongan itu.
Alhamdulillah, saya dan rakan-rakan dapat bersama menghabiskan perjalanan yang agak jauh pada petang ini bersama ayahanda Dato’ Naib Canselor. Agak peramah orangnya. Dibuatnya kami umpama teman sebaya yang ajak bersiar-siar makan angin.
Saya diikuti beberapa rakan dari Pro-Mahasiswa bersama hampir 20 orang staff UTM cuba untuk menilai gaya dan rentak seorang pemimpin tertinggi di teratak UTM ini di kala bersama beliau. Banyak karenah ayahanda yang dapat saya jadikan pedoman serta teladan, walaupun tempoh ‘bermusafir’ itu agak ringkas. Namun isinya padat.
Lagak seorang cendikiawan yang agak berumur, memiliki daya keintelektualan yang tinggi dengan penampilan pakaian yang kemas dikongsi secara mesra bersama staff dan anak-anak pelajarnya. Sepanjang perjalanan saya dengannya, banyak adegan yang telah membuktikan ayahanda sememangnya layak digelar pencinta alam sekitar serta pakar air Malaysia.
Teguran dan juga kritikan serta idea yang membina ayahanda curahkan pada pembantunya untuk diambil tindakan untuk membuat perubahan dari semasa ke semasa. Di samping itu juga, Dato’ seorang yang ramah dan mudah mesra sekalipun dengan pelajar-pelajar antarabangsa dan juga tempatan.
Syukur tidak terhingga padaNya kerana Allah gerakkan hati dan jasad saya untuk sepetang berjalan-jalan bersama orang nombor satu di kampus yang pada hemat saya karekter beliau perlu dicontohi oleh pemimpin-pemimpin pelajar yang ada hari ini.






0 comments