25 Julai 2009 : Kepimpinan Mahasiswa Islam seluruh Malaysia kini sedang mengikuti Konvensyen kepimpinan Mahasiswa Islam yang dianjurkan oleh Dewan Amal Islam Hadhari UiTM bertempat di hotel Putra Kuala Lumpur. Konvensyen ini telah dirasmikan oleh YB Dato' Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Menteri Pertahanan Malaysia merangkap Pengerusi DAMAI.
Kepimpinan mahasiswa yang hadir telah dibentangkan dengan 3 kertas kerja iaitu Peranan Mahasiswa Islam dalam menstabilkan Sosio-Politik di Malaysia oleh Prof Madya Dr Hj Muhammad Rahimi Osman. Kertas kerja kedua bertajuk Ke Arah Pemantapan Mahasiswa Islam oleh Prof Dato' dr Mohd Yusof Othman dan kertas kerja yang terakhir adalah Membudayakan pemikiran mahasiswa Islam dalam bidang korporat oleh Ustaz Mohd Khairi Hussain.
Kepimpinan mahasiswa yang hadir dilihat sangat responsif terhadap isu-isu yang telah dibangkitkan dalam pembentangan tersebut berdasarkan soalan-soalan yang diberikan dan diajukan kepada para pembentang kertas kerja.
Difahamkan juga, malam ini akan diadakan perbincangan resolusi antara pimpinan mahasiswa seluruh IPTA untuk diserahkan kepada Perdana Menteri, Dato' Seri Najib Tun Razak dalam satu sesi pertemuan bersama kepimpinan Mahasiswa di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam esok.
Universiti Teknologi Malaysia (UTM Skudai) yang diwakili oleh Persatuan Mahasiswa Islam UTM, Ikatan Mahasiswa Pendidikan Islam (IMPI), Kelab Iqra' dan Wakil Majlis Perwakilan Pelajar telah diberi amanah untuk membincangkan resolusi berkenaan dengan Pembangunan Sahsiah Mahasiswa. Ini selari dengan kempen yang sedang dijalankan oleh Persatuan Mahasiswa Islam untuk membanteras gejala bonceng di UTM dan berkemungkinan isu ini akan dibentangkan dalam perbincangan bersama mahasiswa IPT lain malam ini.
Sebanyak empat Resolusi yang telah dipersetujui oleh semua kampus untuk dibincangkan dan dibawa kepada Perdana Menteri antaranya ialah Resolusi berkenaan Sosio Politik Malaysia, Pendidikan dan Akademik, Pembangunan Sahsiah dan terakhir adalah berkenaan dengan ekonomi.
Diharapkan perbincangan dan resolusi yang akan dibawa kepada Perdana Menteri bakal membawa Malaysia khususnya mahasiswa ke arah lebih baik pada masa akan datang. Sekian. MyLPM.




0 comments