Terlintas dihati saya untuk mengulas berkaitan dengan perenggan berita dari laman http://www.parti-sosialis.org/ untuk kita bincang bersama.
GMI lancar demo anti-ISA 1 Ogos
Abdul Rahim Sabri | 09 4:23pm Gerakan Mansuhkan ISA (GMI) hari ini secara rasmi mengumumkan perhimpunan besar-besaran mendesak penghapusan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), 1 Ogos ini.
Pengerusi NGO itu Syed Ibrahim Syed Noh berkata, agenda program pada hari tersebut belum diputuskan lagi dan dijangka akan diketahui menjelang tarikh tersebut.
Tambahnya, mereka mensasarkan jumlah “sekurang-kurang menyamai jumlah mereka yang menyertai perarakan anjuran Gabungan Pilihanraya Bersih dan Adil (Bersih), dua tahun lalu.
Ditanya mengapa penangguhan tarikh himpunan tersebut sebanyak dua kali, pada Mac dan Jun, beliau berkata mereka terpaksa menghadapi pilihanraya kecil - menjelang pilihanraya parlimen Bukit Gantang dan DUN Penanti.
“Tetapi penangguhan tersebut ada manfaat. Kita dapat satu tarikh yang cantik,” katanya.
Dalam satu kenyataannya, Syed Ibrahim berkata “tarikh 1 Ogos dipilih sempena 49 tahun ISA yang digubal sejak 1 Ogos tahun 1960.”
Sumber : http://www.parti-sosialis.org/
Dalam keributan mahasiswa cuba untuk menyesuaikan diri suasana baru mereka di kampus, tatkala pengajian untuk semesta ini baru bermula, saya ingin meminjam dan membawa minda rakan mahasiswa sekalian merantau jauh ke arena nasional yang berlaku saat ini.
Saya bukanlah ahli politik yang mampu menganalisa setiap inci gerak-geri isu yang melimpah di dalam negara hari ini, namun suka untuk saya memetik kata-kata ayahanda Timbalan Naib Canselor HEP UTM dalam bukunya yang dikeluarkan sempena Minggu Haluan Siswa baru-baru ini bertajuk Transformasi Pembangunan Mahsiswa : Memperkasakan Jatidiri yang menyatakan,
"Pemimpin mahasiswa dalam era globalisasi ini perlu lebih matang dan memandang lebih jauh lagi dalam memperjuangkan isu dan perkara berkaitan mahasiswa. Pemimpin mahasiswa yang ingin dilahirkan adalah mereka yang mampu melihat sesuatu persoalan itu menerusi pandangan yang lebih holistik (helicopter view) berbanding dengan sudut pandangan yang lebih kabur ( myopic view).”
“Di samping membincangkan isu dan perkara berkaitan dengan hal ehwal tempatan, mahasiswa juga diharapkan mampu membicarakan isu-isu yang bersifat global dan sejagat seperti isu kemanusiaan, alam persekitaran, pertembungan budaya dan agama dan ekonomi dunia."
Jadi ini bermakna, mahasiswa dalam tempoh dan proses dididik untuk menjadi future leader sewajarnya melebarkan bentuk horizon pemikiran agar setiap apa yang berlaku kita mampu untuk respon dan memberi jawapan kepada masyarakat yang dahagakan informasi yang BENAR!
Kembali kepada topik perbincangan kita. Sebenarnya saya hampir lemas dan tenggelam dalam ketimbunan bentuk malapetaka politik di tanah air kita hari ini. Sekalipun Malaysia diwartakan secara bangganya sebagai sebuah negara yang makmur, harmoni dalam silang budaya, beradab dan pelbagai lagi yang menggambarkan wajah positif, namun saya terpaksa akur dengan segala bentuk penyelewengan fakta yang kita tabur pada negara luar. Tapi pada hakikatnya negara luar mula mengenali Malaysia atas nama ‘pencemaran politik’ yang berlaku pada hari ini.Jijik.
Isu yang ingin saya lontarkan dalam penulisan kali ini bukan lagi isu yang asing di mata rakyat. Malahan bilamana isu ini diutarakan timbul rasa benci yang membuak-buak dalam hati sanubari rakyat sekalipun tidak ada kena mengena dengan diri mereka.
ISA yang hampir setengah abad umurnya bagi saya bukan sekadar wajar untuk dikaji semula, malah telah sampai tempoh yang terbaik untuk dimansuhkan secara total. Dunia hari ini yang berkisar dengan persoalan fakta dan maklumat tepat serta bukti yang kukuh dalam menjatuhkan sesuatu hukuman mencerminkan betapa tidak relevannya ISA ini diguna pakai.
Namun apa yang ingin saya utarakan ialah, apakah perjuangan memansuhkan ISA ini bersifat politik semata-mata atau rakyat bangkit menyatakan ketidakpuashatian mereka disebabkan akta zalim ini telah merenggut hak kemanusiaan serta mencemarkan nama Malaysia yang di dalamnya terdapat perlembagaan?
Andai ianya benar permainan politik semata-mata mengapa perjuangan memansuhkan ISA yang dianggap sia-sia oleh sesetengah pihak ini diterima oleh sebilangan besar rakyat Malaysia pada hari ini. Bermakna kerajaan perlu melihat, apakah dengan kita menyentap kebebasan kemanusiaan individu hari ini, kerajaan bakal dilihat sebagai kerajaan yang adil dan saksama, ataupun yang sebenarnya kuasa di tangan kerajaan ini dilihat sebagai kuku besi yang senang-lenang memenggal kepala-kepala rakyat.
Saya amat tertarik dengan bentuk cadangan Saifuddin Abdullah dalam karyanya ‘New Politics’ (Politik Baru) 2009, sekalipun sememangnya bersifat terlalu ideal namun inilah bentuk pentadbiran negara yang kita dambakan.
Politik Baru adalah pandangan penulis tentang politik di Malaysia. lebih tepat lagi budaya dan tingkahlaku. Beliau menyarankan budaya lapuk dan negatif di kalangan politikus dan gurkha-gurkha politik diubah dan diganti dengan budaya yang lebih segar seperti mengamal politik dengan ilmu. Rata-rata bagi beliau pemimpin hari ini disanjung kerana kuasa dan wangnya bukan kerana ilmu dan peribadinya.
Katanya lagi, politik yang terbaik adalah “politik ilmu bukan ampu, politik hikmah bukan fitnah, politik bakti bukan undi”.
Justeru, kita bakal menyaksikan semula limpahan rakyat jelata yang kedua (setelah BERSIH) bakal membanjiri jalan-jalan di Kuala Lumpur menuntut hak serta pembelaan terhadap nilai kemanusiaan yang dipermainkan.
Akhir kalam, mari sama-sama kita renung dan berfikir sejenak kalam Allah yang dirakamkan di dalan Al-Quran bermaksud :
“Sesungguhnya orang-orang yang diambil nyawanya oleh malaikat semasa mereka sedang menganiaya diri sendiri (kerana enggan berhijrah untuk membela Islam dan rela ditindas oleh kaum kafir musyrik), mereka ditanya oleh malaikat dengan berkata: Apakah yang kamu telah lakukan mengenai agama kamu? Mereka menjawab: Kami dahulu adalah orang-orang yang tertindas di bumi. Malaikat bertanya lagi: Tidakkah bumi Allah itu luas, yang membolehkan kamu berhijrah dengan bebas padanya? Maka orang-orang yang sedemikian itu keadaannya, tempat akhir mereka ialah Neraka Jahanam dan Neraka Jahanam itu adalah seburuk-buruk tempat kembali.”
(An-Nisa’ : 97)
Mohd Amin Bin Mohd Hamami
Presiden PMIUTM
Fakulti Kejuruteraan Mekanikal
Universiti Teknologi Malaysia, Skudai








0 comments